Anda di sini

Mahkamah Korea Selatan haram bunuh anjing untuk dagingnya

Advertisement
 Aktivis hak haiwan memakai topeng berbentuk anjing berhimpun di luar mahkamah di Seoul, Korea Selatan kelmarin ketika menunggu keputusannya mengharamkan pembunuhan anjing bagi mendapatkan dagingnya. — Gambar Yonhap/AFP
PENCINTA HAIWAN: Aktivis hak haiwan memakai topeng berbentuk anjing berhimpun di luar mahkamah di Seoul, Korea Selatan kelmarin ketika menunggu keputusannya mengharamkan pembunuhan anjing bagi mendapatkan dagingnya. — Gambar Yonhap/AFP

SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan telah mengharamkan pembunuhan anjing bagi mendapatkan da-gingnya, dalam satu keputusan bersejarah yang menurut aktivis hak haiwan semalam dapat membuka jalan kepada usaha untuk mengharamkan perbuatan memakan anjing.

Daging anjing sudah lama menjadi sebahagian daripada masakan di Korea Selatan, dan kira-kira sejuta ekor anjing dipercayai dimakan setiap tahun.

Namun pengambilannya sudah menurun selepas rakyat Korea Selatan semakin menerima idea bahawa anjing adalah rakan karib manusia dan bukan haiwan ternakan, dan amalan berkenaan kini adalah sesuatu yang menjadi pantang-larang di kalangan generasi muda dan tekanan semakin meningkat daripada aktivis.

Walaupun demikian, ia masih sesuatu yang samar-samar di bawah undang-undang. Walaupun tiada larangan khusus, pihak berkuasa telah menggunakan peraturan kebersihan atau undang-undang perlindungan haiwan yang melarang kaedah penyembe-lihan yang kejam untuk meng-ambil tindakan ke atas ladang anjing dan restoran menjelang acara antarabangsa seperti Olimpik Pyeongchang.

Kumpulan hak haiwan Care pada tahun lepas memfailkan aduan terhadap seorang pengusaha ladang anjing di Bucheon, yang dituduh “membunuh haiwan tanpa sebab yang baik” dan melanggar peraturan kebersihan dan bangunan, dan pendakwa raya kemudian mendakwanya.

Dia didapati bersalah oleh mahkamah Kota Bucheon, yang memutuskan pengambilan daging anjing bukan sebab yang sah untuk membunuh anjing, dan didenda sebanyak tiga juta won (RM10,260). Dia mengetepikan haknya untuk merayu.

Peguam Care, Kim Kyung-eun, mengalu-alukan keputusan itu – yang dibuat pada April lalu tetapi maklumat terperinci hanya dikeluarkan pada minggu ini – dan memberitahu AFP: “Ia sangat signifikan kerana ia adalah keputusan mahkamah pertama bahawa membunuh anjing untuk daging anjing adalah salah di sisi undang-undang.”

Keputusan mahkamah men-cetuskan bantahan daripada penternak anjing yang marah, di mana premis mereka biasanya turut dijadikan rumah penyembelihan kerana kerajaan tidak memberi lesen kepada tempat penyembelihan untuk membunuh anjing.

“Ini tidak masuk akal. Kami tidak dapat menerima keputusan bahawa membunuh anjing untuk pengambilan daging anjing adalah umpama membunuh haiwan sesuka hati,” kata Cho Hwan-ro, seorang wakil dari sebuah persatuan ladang anjing, menerusi televisyen YTN.

Terdapat kira-kira 17,000 ladang anjing di seluruh negara, kata Cho, yang meminta kerajaan membenarkan dengan jelas pengambilan daging anjing dalam undang-undang dan memberi lesen kepada rumah penyembelihan anjing.

“Jika tidak, kami akan melawan hingga ke akhir,” tegasnya. — AFP— AFP

Advertisement