Anda di sini

Kumpulan 25 ekor gajah bergerak menghampiri Tabin

Advertisement
SILVESTER Saimin
SILVESTER Saimin

TUNGKU: Operasi menghalau kumpulan 25 ekor gajah dari mengancam penduduk kampung kini berjaya membawa kumpulan itu sehingga ke jarak 5 kilometer perjalanan dari lokasi akhir ditemui pada Khamis.

Pegawai Hidupan Liar Daerah Silvester Saimin berkata gajah tersebut telah bergerak dari satu kawasan ladang kelapa sawit tidak jauh dari Kampung Sri Darun menghala ke satu kawasan di Ladang Abedmas.

"Kesemua gajah-gajah itu kini dalam keadaan yang baik dan terkawal.  Perjalanan mereka sejauh lima kilometer itu mungkin agak meletihkan dan kelihatan kumpulan telah berehat di sini," katanya ketika dihubungi.

Perkembangan ini dilihat positif ke arah usaha memastikan kumpulan gajah itu dapat kembali ke habitat asal mereka di kawasan Hutan Simpan Tabin.

Masih berbaki kira-kira 6 hingga 7  kilometer perjalanan sahaja lagi perlu dilalui kumpulan gajah itu sejak keluar ke kawasan ladang sejak dikesan 21 Mei lalu.

Pada Rabu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Assafal P. Alian telah melakukan lawatan kerja memperhalusi isu kumpulan gajah yang menimbulkan kebimbangan penduduk kampung.

Assafal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku turut menyatakan komitmen kementeriannya bagi mengatasi isu tersebut dengan menggariskan tiga langkah tindakan berkesan.

Pertama, dengan kerjasama kakitangan Jabatan Hidupan Liar dan penduduk kampung operasi menghalau kumpulan gajah itu agar dapat bergerak menjauhi persekitaran kampung.

Kedua, sekiranya cara itu kurang berkesan, usaha menangkap dan memindahkan gajah menggunakan khidmat pengangkutan akan dilakukan dan ini dijangka akan mengambil masa dan kos operasi yang lebih tinggi.

Ketiga, setelah gajah-gajah itu telah kembali di Tabin, tindakan mencegah gajah itu keluar dari habitatnya akan dilakukan melalui pendekatan Tanggungjawab Sosial Korporat pemilik-pemilik ladang berhampiran sempadan mendirikan pagar elektrik (electric fencing).

  • oleh
  • Advertisement