Anda di sini

Kerajaan bekal 50,000 liter air

Advertisement

Untuk setiap daripada tujuh kampung menghadapi masalah air kritikal

KUALA PENYU : Tujuh kampung yang menghadapi masalah bekalan air serius di daerah ini masing-masing akan dibekalkan 50,000 liter air, untuk memenuhi keperluan harian penduduknya.

Tujuh kampung berkenaan ialah Tongilan, Tongilung, Sawangan, Kiaru, Mempakul, Tidung dan Padang Golf.

PETER diberi taklimat ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Air Kuala Penyu.
PETER diberi taklimat ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Air Kuala Penyu.

Setiap kampung mempunyai purata 50 hingga 60 keluarga atau kira-kira 100 penduduk. Bekalan air 50,000 itu mungkin mencukupi untuk keperluan dua hari, dan akan ditambah apabila bekalan habis digunakan.

Menteri Pembangunan Infrastrukur Datuk Peter Anthony mengumumkan kelulusan pembekalan air itu serta-merta selepas mengadakan lawatan mengejut ke Pejabat Jabatan Air Kuala Penyu dan Stesen Pengepaman Air Kayul, di sini hari ini.

"Lawatan mengejut saya ini adalah untuk mengetahui masalah dihadapi penduduk berikutan banyak luahan mengenai masalah air.

"Sebagai penyelesaian jangka pendek, maka saya setuju untuk membekalkan serta-merta setiap kampung dengan 50,000 liter air melibatkan kesemua tujuh kampung yang menghadapi masalah ini.

PETER melihat sendiri keadaan paip yang memerlukan penyelenggaraan.
PETER melihat sendiri keadaan paip yang memerlukan penyelenggaraan.

"Kita harap ia dapat meringankan beban penduduk terlibat, sementara kita mencari jalan penyelesaian jangka panjang," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan berkenaan.

Peter berkata penyelesaian jangka panjang termasuk membina loji-loji baharu selain menangani masalah air tidak digunakan (NRW) yang agak tinggi di daerah ini.

Menurutnya, masalah air di Kuala Penyu adalah isu yang sudah berlarutan sejak lima hingga 10 tahun lalu dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin politik masing-masing menuding jari antara satu sama lain.

"Di bawah kerajaan baharu ini, atas pendekatan dan arahan Ketua Menteri, kita akan tangani serta selesaikan segera masalah yang dihadapi penduduk," katanya.

PETER melihat keadaan pam ketika meninjau ke Loji Rawatan Air Kayul.
PETER melihat keadaan pam ketika meninjau ke Loji Rawatan Air Kayul.

Sehubungan itu, beliau berkata langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksana mengikut saluran dan prosedur ditetapkan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum ini memang ada perancangan menangani masalah air di sini, namun kebanyakan perancangan itu belum dilaksanakan lagi sehingga membebankan penduduk.

  • oleh
  • Advertisement