Anda di sini

Kerajaan akan teruskan projek TRX: Lim

Advertisement
 Lim ketika sidang media mengenai projek TRX akan diteruskan walaupun lebih daripada RM3 bilion Dana Kerajaan Persekutuan diselewangkan oleh 1MDB. — Gambar Bernama
SIDANG: Lim ketika sidang media mengenai projek TRX akan diteruskan walaupun lebih daripada RM3 bilion Dana Kerajaan Persekutuan diselewangkan oleh 1MDB. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Projek Tun Razak Exchange (TRX) akan disiapkan, meskipun kerajaan terpaksa menyuntik pembiayaan tambahan sebanyak RM2.8 bilion dan lebih daripada RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) telah diselewengkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

 “Suntikan tambahan RM2.8 bilion, selain RM3.7 bilion yang dipindahkan sebelum ini ke TRXC, akan menjadikan jumlah pembiayaan oleh kerajaan sebanyak RM6.5 bilion,” katanya.

Lim juga mendedahkan TRXC tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk kerja-kerja prasarana bagi menyiapkan projek tersebut dan telah meminta bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Alternatif untuk tidak menyediakan pembiayaan RM2.8 bilion dan tidak menyiapkan projek itu, kerajaan terpaksa membayar pampasan RM3.51 bilion, serta Kuala Lumpur akan dibelenggu dengan satu projek mega terbengkalai yang besar,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam.

Menurutnya lagi, selain terpaksa membawar pampasan tersebut, kerajaan juga akan kehilangan RM3.7 bilion sebagai kos lepas yang diperuntukkan kepada TRXC sebelum ini.

“Kelmarin, Kabinet bermesyuarat dan memutuskan projek TRX akan disiapkan, dengan pembiayaan kerajaan sehingga RM 2.8 bilion. Keputusan ini akan membantu melenyapkan kebimbangan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing yang telah pun melabur berbilion-bilion ringgit dalam projek itu.

“Projek itu juga akan membantu menjana kembali segala dana yang telah diselewengkan serta membayar balik semua pinjaman lama, dengan mengambil kira kos peluang dan pelaburan yang telah dibuat. serta meraih lebihan kecil yang akan menampung pelaburan lepas. Penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya yang sekurang-kurangnya RM7.6 bilion.

“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan TRXC yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azmar Talib dan Pengarah Eksekutif  Tan Hwa Min untuk membuat laporan kepada panel penyiasatan 1MDB dan kepada polis tentang penyelewengan dana RM3.1 bilion oleh 1MDB,” kata Lim.

Beliau berkata Kementerian Kewangan akan memastikan suntikan dana itu dibelanjakan dengan berhemat bagi melindungi kepentingan pembayar cukai Malaysia, pelabur TRXC tempatan dan asing sedia ada.

TRXC, pemaju TRX adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini, ia dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Atas nasihat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, TRXC telah dipindah milik kepada Kementerian Kewangan pada 31 Mac, 2017, kerana ia menghadapi masalah menjalankan urus niaga hartanah dan mengalami kesukaran mendapatkan pembiayaan bank disebabkan oleh hubung kait syarikat itu dengan 1MDB.

Untuk pengetahuan umum, TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB. Dua projek tersebut merangkumi TRX seluas 70 ekar dan Bandar Malaysia seluas 486 ekar.

Sejak 2012, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM3,688 juta melalui jaminan pinjaman, pemberian pendahuluan, pemindahan dana dan pembelian tanah daripada TRXC.

Daripada jumlah RM3,688 juta tersebut, RM3,067 juta telah diselewengkan oleh 1MDB dan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar hutang.

Ini telah mengakibatkan TRXC kekurangan dana untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju induk projek TRX.

Sehingga kini, TRXC sudah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa seperti Mulia Property Development (Menara The Exchange 106), HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT, Lendlease dan IJM (Menara Prudential).

Menara The Exchange 106 dan Menara Prudential dijangka siap dibina pada awal tahun depan. — Bernama

Advertisement