Anda di sini

Keajaiban Neymar ditagih

Advertisement

SAINT PETERSBURG, Rusia: Neymar akan berharap untuk mengembalikan kempen Brazil di Piala Dunia 2018 hari ini selepas pasukan pilihan itu mahu membuktikan kemampuan mereka dengan kemenangan ke atas Costa Rica.

Neymar menerima banyak asakan ketika Brazil seri 1-1 dengan Switzerland pada perlawanan pertama mereka Ahad lepas di mana beliau dikasari sebanyak 10 kali, paling banyak dari mana-mana pemain pada satu kejohanan Piala Dunia sejak 20 tahun.

Pemain paling mahal di dunia itu kemudian membangkitkan kebimbangan apabila terhincut-hincut di akhir sesi latihan Selasa lepas.

NEYMAR
NEYMAR

Bagaimanapun, beliau kembali ke dalam padang latihan 24 jam sebelum pertemuan di Saint Petersburg, memberikan harapan di mana beliau akan diturunkan.

Malah sebelum kekecewaan terbaharu itu, ada keraguan tentang tahap kecergasan Neymar menjelang Piala Dunia selepas tiga bulan tidak beraksi ekoran kecederaan ketika beraksi untuk kelabnya, Paris Saint Germain (PSG).

Pertemuan menentang Switzerland adalah perlawanan kompetetif pertama beliau sejak hampir empat bulan kerana kecederaan yang dialami pada bulan Februari.

Beliau kembali ke tanahairnya untuk menjalani pemulihan penuh dengan hasrat untuk kembali cergas untuk beraksi di Piala Dunia

Bagaimanapun, persoalan kekal sama ada beliau masih kekurangan kecergasan perlawanan.

Brazil mengharapkan kehebatan Neymar pada lewat permainan menentang Switzerland tetapi mereka gagal menembusi pertahanan kental lawan.

Sebaliknya, Philippe Coutinho membuka jaringan buat Brazil dengan satu rembatan jarak jauh cantik dan dengan Neymar, Coutinho menamatkan musim beliau bersama kelab Barcelona dengan prestasi meyakinkan selepas melakukan perpindahan impian dari Liverpool pada bulan Januari.

Sekiranya Neymar gagal cergas, Coutinho dijangka akan mengisi posisi di bahagian kiri serangan dengan Tite memperkuatkan lagi barisan tengahnya.

Bagaimanapun, Coutinho menegaskan Neymar adalah pemain penting dalam usaha Brazil memburu kejuaraan Piala Dunia.

“Neymar adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Sudah tentu memiliki beliau dalam pasukan satu kelebihan besar bagi kami,” kata Coutinho.

“Beliau sangat penting. Beliau sentiasa mencipta ruang dan pergerakan.”

Kemenangan akan mengurangkan tekanan dan Brazil sememangnya mempunyai lawan yang boleh membantu mereka kerana Costa Rica hanya menang sekali ke atas Brazil dalam 10 pertemuan iaitu pad 1960.

Costa Rica mengejutkan England, Itali dan Uruguay untuk melangkah ke suku akhir di Brazil 2014 tetapi mereka juga terdesak memerlukan kemenangan selepas tewas 0-1 kepada Serbia pada perlawanan pertama.

Mereka juga tewas teruk pada perlawanan persahabatan menentang Belgium dan England tetapi kapten pasukan, Bryan Ruiz percaya mereka boleh mengekori langkah Switzerland untuk mencipta satu lagi kejutan besar.

“Switzerland mengasak mereka di bahagian tengah dan itulah apa yang anda perlu lakukan kerana semua orang tahu Brazil mempunyai pemain tengah hebat ketika melakukan serangan,” kata Ruiz. — AFP

Advertisement