KUALA LUMPUR: Peningkatan perlindungan di kalangan rakan dagangan menjadi sebahagian daripada risiko yang akan menjejaskan eksport Jepun pada separuh kedua 2018.
RAM Ratings Services Bhd (RAM Ratings) berkata eksport yang kukuh hanya boleh mengurangkan kesan daripada permintaan domestik yang terjejas yang sebahagian besarnya menjadi punca penyusutan 0.2 peratus yang direkodkan dalam keluaran dalam negara kasar bagi suku pertama 2018 Jepun.
“Walaupun pertumbuhan eksport berterusan dalam tempoh lima bulan pertama pada 2018, risiko penurunan eksport pada masa depan semakin meningkat berikutan peningkatan langkah perlindungan yang dibuat oleh rakan-rakan dagangan Jepun,” kata Ketua Penafaran Kedaulatan, Esther Lai.
RAM Ratings berpendapat bahawa ketegangan polisi perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China boleh menjejaskan Jepun memandangkan tarif Amerika ke atas eksport Cina mampu memberi kesan kepada pengeluar Jepun yang mendirikan kilang di China.
Di samping itu, dengan lebihan dagangan sejumlah AS$3.1 bilion (AS$1 = RM4.00) dengan AS, Jepun boleh dikenakan tarif baharu ke atas eksport kereta dan alat ganti ke AS, melebihi tarif semasa yang dikenakan ke atas produk-produk logam Jepun.
“Ketegangan perdagangan yang semakin meningkat daripada dasar-dasar pelindungan AS mungkin akan memberi impak kepada sentimen perniagaan,” tambahnya. — Bernama