Anda di sini

Dasar baharu KPKT akan ambil kira keperluan Sarawak

Advertisement

KUCHING: Dasar-dasar baharu yang bakal diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil kira keperluan serta isu rakyat Sarawak.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana bagi kes Sarawak, isu perumahannya sedikit berbeza dengan Semenanjung Malaysia disebabkan budaya dan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Jika saya perlu memperkenalkan dasar baharu di bawah KPKT, ia akan digunakan pakai oleh semua.

“Cuma bagi kes di Sarawak, ia agak berlainan kerana isu-isu tertentu seperti di Sarawak ada rumah panjang dan tanah Hak Adat Bumiputera. Maknanya syarat dan terma akan sedikit berbeza,” katanya dalam temu bual khas bersama Utusan Borneo dan The Borneo Post di sini, semalam.

Zuraida berkata, kementerian perlu mendapatkan lebih banyak input dan maklumat mengenai isu perumahan di Sarawak sebelum menetapkan dasar khususnya berkaitan projek rumah mampu milik di negeri ini.

Katanya bagi tujuan itu, seorang Ahli Parlimen dari Sarawak akan membantu serta memberi nasihat kepada beliau berhubung isu-isu berkaitan sektor perumahan di Sarawak.

“Perkara ini sangat penting, sebab itu saya masih perlukan banyak input. Mungkin untuk Sarawak dasar baharu yang akan kita perkenalkan nanti meletakkan terma dan syarat berbeza,” jelasnya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beberapa projek rumah mampu milik di bawah KPKT akan diteruskan, namun di bawah dasar baharu itu nanti reka bentuk rumah berkenaan akan ditambah baik.

Beliau turut memberitahu, projek Perumahan Rakyat Harapan Malaysia (PRHM) yang sebelum ini dikenali sebagai Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang telah diluluskan seluruh negara termasuk di Sarawak, akan diteruskan.

“Bagi projek PRHM yang belum diluluskan, kita akan memaklumkan kepada pemaju mengenai reka bentuk iaitu lebih luas serta selamat.

“Kementerian akan mengadakan pertemuan dengan pemaju-pemaju terlibat dalam waktu terdekat bagi membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci,” katanya.

Mengakui banyak perkara tidak boleh diubah serta-merta, Zuraida berkata, beliau akan cuba menyesuaikannya dengan keperluan untuk menyediakan kemudahan perumahan lebih selesa bagi kelompok isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Mengulas mengenai cadangan KPKT untuk menyelaras projek rumah mampu milik dengan meletakkannya di bawah satu agensi, Zuraida berkata, kertas cadangan berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada kabinet.

“Di bawah konsep ini, kita boleh memantau pengagihan rumah kos rendah dan rumah mampu milik, kita boleh memantau harga dan reka bentuk selain pengurusan hartanah.

“Sehingga semuanya dikemukakan kepada saya, baharulah saya tahu apa langkah seterusnya,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement