Anda di sini

Aidilfitri peluang semarak amalan saling mengunjungi

Advertisement
 Jolly (berdiri tengah) melayan kehadiran Harden (duduk empat kiri) semasa pada Majlis Jamuan Hari Raya di kediaman beliau di Kampung Muhibbah, Sri Aman.
JAMUAN RAYA: Jolly (berdiri tengah) melayan kehadiran Harden (duduk empat kiri) semasa pada Majlis Jamuan Hari Raya di kediaman beliau di Kampung Muhibbah, Sri Aman.

HARI Raya Aidilfitri merupakan peluang untuk masyarakat Islam mengadakan majlis rumah-rumah terbuka bagi menyemarakkan amalan kunjung-mengunjungi.

Amalan sama terus subur di Sri Aman apabila Ketua Kampung Paya Jaya Utara, Kampung Muhibbah Jolly Ramli menganjurkan majlis jamuan di kediamannya, kelmarin.

Menurut Jolly, majlis anjuran keluarganya setiap tahun itu bertujuan memberi peluang kepada kepada sahabat handai dan saudara-mara terdekat berkunjung sambil bermaaf-maafan sesama sendiri.

“Pada setiap kali hari raya, saya sekeluarga mengadakan majlis jamuan beramai-ramai seperti ini di kediaman kami.

“Selain bermaaf-maafan, ia juga peluang mengeratkan lagi silaturahim di antara kami sekeluarga serta sahabat handai dan saudara-mara terdekat,” katanya.

Lebih manis lagi, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, beliau sekeluarga turut menerima kunjungan daripada Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis serta isterinya Datin Simba Nallang.

“Kami sekeluarga berasa gembira kerana wakil rakyat di kawasan ini cukup prihatin dan sentiasa dekat dengan rakyat dan setiap masa sentiasa berdamping dengan rakyat.

“Kita dapat lihat, musim perayaan seperti ini merupakan landasan terbaik mereka (wakil rakyat) bertemu dengan rakyat sambil mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan mereka,” katanya.

 Antara tetamu pada majlis rumah terbuka Nor Surayari Sazeli di Taman Mayfair, Sri Aman.
KENANGAN: Antara tetamu pada majlis rumah terbuka Nor Surayari Sazeli di Taman Mayfair, Sri Aman.

Sambutan hari ketujuh Aidilfitri kelmarin turut dimanfaatkan oleh kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman, Awang Jamaludin Awang Japar serta isterinya Pembantu Tadbir di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Dayang Azizah mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman mereka di Taman Desa Indah.

Tampil mengadakan kunjungan pada majlis rumah terbuka berkenaan, Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai, Timbalan Residen Pembangunan Bahagian Sri Aman Philip Peter Salam serta kakitangan Pejabat Residen dan kakitangan RTM Sri Aman yang lain.

Selain itu, jurukamera TV di RTM Sri Aman, Mohammad Najib Mustapha juga tidak ketinggalan mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman beliau di Kampung Melayu, Engkilili.

Majlis rumah terbuka beliau bukan sahaja dikunjungi oleh rakan taulan dari sekitar kampung tersebut, malah dimeriahkan oleh rakan-rakan dari RTM Sri Aman.

Najib menyifatkan, majlis rumah terbuka anjuran keluarganya itu merupakan salah satu platform untuk merapatkan lagi silaturahim di samping peluang untuk bermaaf-maafan sempena musim perayaan ini.

Sementara itu, salah seorang kakitangan Hotel Seri Simanggang, Nor Surayari Sazeli juga mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman suaminya di Taman Mayfair.

Beliau yang ditemui Utusan Borneo turut melahirkan perasaan teruja dan gembira kerana berpeluang meraikan perayaan berkenaan bersama keluarga dan sanak-saudara.

“Tahun ini, saya bercuti agak panjang dan saya menggunakan peluang ini untuk berkunjung ke majlis rumah terbuka saudara-mara terdekat.

“Jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini, cuti saya terpaksa dipendekkan sedikit atas sebab tugas,” katanya.

 Tetamu majlis rumah terbuka Mohd Shahrul Ismail (duduk tengah) berswafoto bersama beliau pada majlis rumah terbukanya di Taman Srijaya, Sri Aman.
BERSWAFOTO DULU: Tetamu majlis rumah terbuka Mohd Shahrul Ismail (duduk tengah) berswafoto bersama beliau pada majlis rumah terbukanya di Taman Srijaya, Sri Aman.

Juruteknik bebas alat siar raya yang juga pemilik Shah Open Karaoke Sri Aman, Mohd Shahrul Ismail juga tidak ketinggalan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman beliau di Taman Srijaya, Sri Aman.

Shahrul ketika ditemui menjelaskan, pada tahun lepas, beliau dan keluarga merai dan mengadakan majlis rumah terbuka bersama keluarga sebelah mentua beliau di Sibu.

“Pada tahun ini, saya serta keluarga mengadakan majlis ini di Sri Aman bagi memberi peluang kepada rakan-rakan yang tidak berkesempatan berkunjung ke majlis rumah terbuka kami pada tahun lepas,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement