Anda di sini

5 kementerian bangunkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak: TPM

Advertisement

PUTRAJAYA: Lima kementerian akan membangunkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak peringkat kebangsaan untuk menangani isu-isu yang meliputi pemakanan berkhasiat, pendidikan, perumahan dan kemiskinan di negara ini.

Kementerian berkenaan ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata adanya keperluan untuk membangunkan pendekatan yang lebih bersepadu, diselaraskan dan teratur dalam menangani kanak-kanak yang terbantut dan terpinggir, termasuklah kanak-kanak tanpa kerakyatan dan kanak-kanak pelarian.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata input bagi rangka kerja pelan hala tuju itu akan diperoleh dan disusun pada mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan.

“Tarikh akhir bagi pelan hala tuju itu adalah satu bulan dan menteri yang bertanggungjawab akan memantau kemajuan di setiap kementerian. Tidak lama lagi, kita akan melihat pelan tindakan yang menyeluruh dan boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama-sama lima kementerian berkenaan di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun dan Timbalan Perwakilan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia Dr Amjad Rabi.

Pada pertemuan itu, mereka membincangkan tentang menentukan prinsip panduan, menetapkan strategik yang objektif dan merumuskan program untuk mencapai dalam pelan hala tuju itu di semua kementerian berkenaan.

Dr Wan Azizah berkata setiausaha politik dari setiap kementerian berkenaan akan  berperanan sebagai jawatankuasa pemandu bagi pelan dan pembangunan hala tuju itu, dengan KPKWM bertindak sebagai sekretariat.

Sejak 1989 hingga 2017, katanya, kerajaan telah membelanjakan RM287 juta bagi melaksanakan program untuk kesejahteraan kanak-kanak.

“Kita membelanjakan banyak wang tetapi hasilnya tidak seperti apa yang kita mahukan. Kita tidak boleh menjadi masyarakat penyayang jika kita tidak mengendahkan dan mengabaikan mereka yang amat memerlukan penjagaan.

“Kita tidak boleh bercakap tentang membangunkan masa depan yang lebih baik jika ada seorang antara tiga kanak-kanak atau seorang antara empat kanak-kanak yang hidup dalam keadaan yang teruk,” katanya sambil memberitahu bahawa kerjasama perlu melangkaui semua tempat dan sempadan.

Dr Wan Azizah juga berkata Bantuan Sara Hidup (BSH), yang dahulunya dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), adalah inisiatif yang bagus tetapi ia gagal mengambil kira perbezaan kemiskinan setiap penerima bantuan itu.

“Kita kena banding isi rumah yang mempunyai lapan anak dan keluarga yang mempunyai seorang anak tetapi menerima bantuan sama. Kita juga kena bandingkan kemiskinan di setiap negeri,” katanya.

Beliau menekankan bahawa negara perlu berubah daripada melaksanakan amalan bantuan yang berbentuk kebajikan kepada bantuan yang membolehkan rakyat lebih berdikari dan mampan untuk meningkatkan taraf kehidupan. — Bernama

Advertisement