Anda di sini

Raikan Syawal dengan ‘Amira Rose’ lakonan Aiman Hakim & Farah Nabilah

Advertisement
 

PARA pengikut setia artis drama Melayu, Aiman Hakim dan Farah Nabilah pasti tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan gandingan mereka dalam drama mini ‘Amira Rose’ yang disiarkan buat kali pertama pada 17 Jun lepas, jam 11.15 pagi di saluran TV3 dan di NTV7, jam 3.00 petang.

Bagi yang terlepas, penonton juga dapat menikmati episod Raya Amira Rose sepanjang 30 minit ini di saluran TV9 esok, 22 Jun 2018, jam 9.00 malam.

Enam episod seterusnya masing-masing terdiri daripada siri mini berdurasi 10 minit akan disiarkan di saluran TV3 setiap Isnin dan Selasa, jam 9.50 malam dari 25 Jun hingga 10 Julai.

Drama mini bersiri ini memaparkan gandingan Aiman Hakim dan Farah Nabilah sebagai pasangan kekasih bagi menyegarkan lagi rancangan TV sempena Aidilfitri secara lebih santai dan ceria.

Dalam Amira Rose, Aiman berlakon sebagai Rahman yang sedang menjalinkan hubungan romantik dengan watak Farah, iaitu Amira.

Mereka juga rakan sekerja yang bertugas sebagai vlogger dan penulis. Bagaimanapun, Rahman telah meletak jawatan untuk menyertai sebuah syarikat pesaing beberapa hari sebelum Hari Raya.

Amira berasa kecewa dan dikhianati lantas membuat keputusan untuk mengikut rakan sekerja seniornya Mun balik ke kampung untuk meraikan Hari Raya tanpa Rahman.

Setibanya di kampung halaman Mun, Amira bertemu dan tertarik dengan Amir, iaitu sepupu kacak Mun. Rahman yang berasa bimbang bahawa Amira berkemungkinan akan memutuskan hubungan mereka, bergegas ke kampung Mun untuk cuba menambat hati Amira semula.

Siri istimewa ini juga dibarisi pelakon-pelakon handal yang lain, seperti Sharifah Sakinah sebagai Mun, Daler Yusuf sebagai sepupu Mun yang amat menawan, dan penampilan khas oleh penyanyi remaja berbakat, Ismail Izzani.

Mengulas tentang wataknya, Aiman berpendapat pengalaman penggambaran bagi siri mini ini agak baharu dan berlainan.

“Berlakon dalam siri mini ini agak berbeza. Kami diberi peluang dan ruang untuk berbincang, serta menyumbang pelbagai adegan spontan. Jalan ceritanya mudah, tetapi senang dikaitkan dengan kehidupan seharian kita.

“Saya berharap para peminat dan penonton akan terhibur di samping menghayati unsur cinta dan kemaafan yang disam-paikan dalam Amira Rose Syawal ini,” katanya.

Siri mini ini adalah antara produksi yang tidak lagi menggunakan gaya penggambaran konvensional supaya dapat membawa daya tarikan yang berbeza bagi drama Melayu.

Pasukan produksi berjaya menyuntik pelbagai elemen drama bersiri Korea dari segi watak, plot dan ciri-ciri estetik dalam Amira Rose, manakala turut dikekalkan keindahan dan keunikan persekitaran kampung Melayu tradisional untuk menampilkan sebuah latar belakang yang menarik.

Advertisement