Anda di sini

Lelaki kena tiga tahun penjara, curi beg tangan teman wanita

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mencuri beg tangan teman wanitanya, dikenakan penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosdin Talip, 36, selepas mengaku salah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama tempoh sepuluh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Tertuduh mencuri beg tangan mangsa yang berusia 42 tahun, mengandungi dua jam tangan, kunci kereta, dokumen peribadi, kad ATM dan wang tunai sebanyak RM2,900.

Kesalahan dilakukan pada 28 Januari jam 6 petang di parkir pasar raya Giant Kolombong, Inanam, di sini.

Satu laporan polis dibuat pengadu yang bekerja sebagai pengurus, mengatakan teman lelakinya mencuri beg tangan yang diletakkan di dalam kereta.

Pada mulanya, beliau tidak membenarkan tertuduh masuk ke dalam keretanya, namun tertuduh masuk melalui bonet belakang, lalu mengambil beg tangan di tempat duduk hadapan.

Bertindak atas maklumat, pada 22 April di sebuah hotel di Jalan Sepanggar, di sini, tertuduh berjaya ditangkap polis.

Tertuduh juga mengaku sudah menjual semua barang terbabit, wang tunai milik pengadu habis digunakan.

Dalam kes berasingan, Cindy menetapkan pengurusan kes pada 11 Julai, terhadap seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah telefon bimbit.

Mohammed Haniff Adam, 32, didakwa mencuri telefon bimbit milik seorang wanita berusia 44 tahun, pada 16 Jun jam 3.15 pagi di sebuah bilik, tingkat 11, Hospital Pakar KPJ Sabah, Luyang, di sini.  

Jika sabit salah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, penjara selama tempoh sepuluh tahun atau denda.

Mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM4,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan, terhadap tertuduh sementara menunggu kes selesai.

Kedua-dua pendakwaan terbabit dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin.

  • oleh
  • Advertisement