Anda di sini

Koperasi digesa kembangkan potensi perniagaan ke dalam sektor mewah

Advertisement

JOHOR BAHRU: Koperasi di negara ini, khususnya di Johor digesa proaktif untuk mengembangkan perniagaan mereka terutama ke dalam sektor mewah seperti hartanah, pembinaan, pelancongan, perubatan serta minyak dan gas.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Ali berkata ini memandangkan  sektor berkenaan menawarkan potensi besar susulan peningkatan permintaan setiap tahun.

“Kerajaan negeri memahami bukan  mudah untuk menceburkan diri di dalam bidang  ini kerana ia memerlukan modal yang cukup besar bagi memulakan perniagaan selain kemahiran seperti perubatan serta minyak dan gas, namun kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan memastikan peluang baharu tetap wujud untuk koperasi.

“Terdapat 1,370 koperasi telah didaftarkan di Johor membabitkan keanggotaan 465,519 orang di seluruh negeri tetapi 70 peratus daripadanya adalah koperasi berstatus mikro dan kecil dengan pulangan tidak mencapai RM1 juta, jadi, kita berharap jika koperasi melebarkan sayap ke dalam sektor mewah ini, kedudukan mereka akan berubah,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau  berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra  Gerakan Koperasi Bersama Pemimpin di Taman Nusa Bestari, di sini.

Beliau berkata, pusat rawatan dialisis merupakan contoh perniagaan perkhidmatan yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat kerana kekurangan penawaran selain kos rawatan di pasaran sedia ada yang tinggi.

“Koperasi boleh memainkan peranan dengan menyediakan perkhidmatan dengan kos perubatan pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan masyarakat selain meneroka bidang perkhidmatan hospital, klinik dan farmasi,” katanya.

Sheikh Umar berkata sehingga Jun 2017, koperasi di Johor mengumpul syer dan yuran sebanyak RM305 juta, RM982 juta nilai aset terkumpul dengan perolehan sebanyak RM887 juta.

“Berdasarkan  sumber besar ini, keusahawanan sosial melalui gerakan koperasi negeri Johor berpotensi menjadi instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi  masyarakat di samping membantu meringankan beban kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata kesedaran mengenai pengumpulan modal melalui tambahan caruman saham oleh anggota untuk membiayai sesuatu projek baharu dan penambahan aktiviti sedia ada harus diberi perhatian.

“Oleh itu, koperasi harus menggunakan pengumpulan modal sebagai aspek penting untuk mengembangkan perniagaan selain mengelakkan ketirisan dalam perbelanjaan operasi,” katanya.

Sheikh Umar berkata pada masa ini, gerakan koperasi mempunyai peluang yang luas untuk diteroka demi membina  organisasi dimiliki bersama yang tersusun dan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Pemimpin koperasi harus mempunyai cita-cita yang besar bagi membolehkan koperasi yang mereka pimpin memberi impak positif dan berpengaruh untuk terus meningkatkan sumbangan kepada pembangunan negeri  ini,” katanya. — Bernama

Advertisement