Anda di sini

Kontraktor perlu segera panjangkan masalah, halangan kepada PBT: Lee

Advertisement
 Lee (dua kiri) ketika meninjau pembinaan sistem parit konkrit di Kampung Pujut Tanjong Batu di Miri, semalam, sambil diiringi Ir. Chai (kiri) serta Morshidi (kanan) dan yang lainnya.
TINJAU: Lee (dua kiri) ketika meninjau pembinaan sistem parit konkrit di Kampung Pujut Tanjong Batu di Miri, semalam, sambil diiringi Ir. Chai (kiri) serta Morshidi (kanan) dan yang lainnya.

MIRI: Pihak kontraktor yang berdepan dengan masalah dan pelbagai halangan semasa melakukan projek pembinaan di sesebuah kawasan terutama yang sesak dengan kediaman, perlu menyuarakan masalah mereka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dibincangkan bagi mengelakkan projek terus tertangguh.  

Sambil menegur pihak kontraktor yang diamanahkan melaksanakan projek perparitan di kawasan Kampung Pujut Tanjong Batu di sini, Lee berkata jika kontraktor terus berhubung dengan pihak tertentu tanpa melalui PBT seperti Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang meluluskan tender projek kepada mereka, keadaan pastinya lebih sukar dan mengambil masa yang lama.

Ini kerana katanya, kebiasaan projek-projek pembinaan di kawasan sesak terutama melihatkan kawasan kediaman, isu saluran utiliti bawah tanah seperti saluran air, gas, kabel telekomunikasi atau tiang-tiang elektrik akan sentiasa menjadi ‘halangan’ kepada sesuatu projek.

“Perkara seperti ini perlu dimaklumkan kepada pihak Majlis (MBM) untuk dibincangkan, supaya MBM boleh memanggil agensi-agensi penyedia utiliti berkaitan untuk bermesyuarat dan mencari jalan penyelesaian.

“Jika tidak, maka projek anda akan terus tertangguh dan anda akan menanggu kos operasi yang meningkat selain menimbulkan kesukaran dan kerugian kepada rakyat yang menunggu kemudahan projek pembinaan anda untuk disiapkan,” katanya.

Teguran Lee itu disuarakan oleh beliau semasa meninjau projek pembinaan sistem perparitan di kawasan Kampung Pujut Padang Kerbau di sini, semalam, yang menelan kos sebanyak RM1.6 juta (tender terendah ditawarkan) dan merupakan salah sebuah projek perparitan terbesar di sini, ketika ini.

Projek pembinaan parit konkrit sepanjang lebih tiga kilometer di sekitar kawasan perkampungan berkenaan yang di tengah-tengah bandar, di samping pembinaan parit besar (untuk tadahan hujang) sepanjang 137 meter dan dua buah pagar pencegah banjir yang terletak di hujung parit yang menghubungkannya kepada parit besar di laluan utama.

Projek yang sepatutnya mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan dan sepatutnya siap sepenuhnya dalam bulan ini, hanya meliputi 63 peratus sahaja pembinaan yang sudah dilaksanakan, disebabkan terdapat beberapa halangan yang melibatkan laluan gas, air dan kabel elektrik serta paip bomba.

Justeru Lee mengarahkan pihak kontraktor untuk berbincang dengan MBM bagi memanggil satu mesyuarat bersama penyedia-penyedia utiliti berkenaan seperti pihak LAKU Management (untuk saluran air), SESCo (kabel elektrik), Sarawak GAS (untuk saluran gas) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri (bagi saluran paip bomba).

“Bincangkan dengan pihak penyedia penyelesaian terbaik, kemudian tetapkan satu tarikh untuk membolehkan laluan kemudahan itu dipindahkan jika perlu, agar projek dapat diteruskan, jika tidak projek ini berlarutan, sedangkan kita (kerajaan) mahu projek ini disiapkan.

“Seboleh-bolehnya dalam bulan ini kerana ketika ini adalah musim kemarau, ia akan memudahkan lagi pembinaan parit-parit konkrit tersebut dan menjelang musim hujan kelak, parit ini sudah boleh dimanfaatkan untuk mengelak banjir kilat berlaku di kawasan ini dan sekitarnya,” ujar Lee.

Masalah perparitan di kampung berkenaan sebelum ini bukan sahaja telah menyebabkan isu banjir kilat berlaku di sana malah melibatkan kawasan sekitar termasuk laluan di jalan raya utama, Jalan Miri-Pujut yang kerap berdepan banjir kilat ekoran masalah perparitan, apabila hujan turun dengan lebat.

Lee, kemudiannya turut meninjau ke tapak pembinaan projek perparitan tersebut serta kawasan-kawasan yang berdepan kesukaran dan masalah, yang menurut Lee, perlu direkodkan dan dirujuk pada mesyuarat bersama pihak MBM dan agensi penyedia utiliti berkaitan.

Hadir sama mengiringi Lee untuk meninjau projek tersebut semalam  ialah Setiausaha MBM, Morshidi Frederick; jurutera MBM, Ir. Chai Ko Het; Ketua Kaum Kampung Pujut Tanjong Batu, Usman Suleiman serta wakil pihak kontraktor, Bersama Jaya Construction Sdn. Bhd.

Advertisement