Anda di sini

Indeks Harga Pengguna meningkat 1.8 peratus pada Mei

Advertisement

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang mengukur kadar inflasi secara menyeluruh, meningkat 1.8 peratus kepada 121.1 pada Mei 2018 berbanding 119.0 bagi tempoh sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Perangkaan berkata kumpulan utama yang mencatat peningkatan adalah indeks pengangkutan (+3.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+2.2 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.1 peratus), restoran dan hotel (+2.1 peratus), kesihatan (+1.9 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+1.5 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding April 2018.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks keseluruhan itu turut terjejas akibat peningkatan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 3.8 peratus pada Mei.

“IHP bagi Januari-Mei mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas,” katanya.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 2.2 peratus pada Mei 2018.

Kenaikan itu didorong oleh indeks subkumpulan makanan ikan dan makanan laut (+3.2 peratus), buah-buahan (+1.9 peratus) beras, roti dan bijirin lain (+1.6 peratus), gula, jem, madu, coklat dan manisan (+1.2 peratus dan daging (+1.0 peratus).

Selain itu, secara keseluruhannya, tiga negeri melepasi paras IHP nasional 1.8 peratus yang dicatatkan pada Mei 2018 berbanding Mei 2017 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+2.2 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (+2.1 peratus) dan Johor (+2.0 peratus).

Menurut jabatan itu, kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang lebih tinggi turut dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, empat  negeri yang mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+2.2 peratus) bagi Mei 2018 berbanding bulan sama pada 2017.

Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 4.5 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 2.4 peratus di Pulau Pinang manakala Johor dan Sarawak masing-masing 2.3 peratus.

Selain itu, inflasi  teras naik 1.5 peratus pada Mei 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Inflasi teras, yang mana tidak termasuk bahan makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga yang dikawal, mencatatkan perubahan dalam julat antara 1.5 peratus hingga 2.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” kata jabatan itu. — Bernama

Advertisement