Anda di sini

Ditemui mati tergantung

Advertisement
 Mayat mangsa diusung keluar dari biliknya oleh anggota polis untuk dihantar ke HUS.
TRAGIK: Mayat mangsa diusung keluar dari biliknya oleh anggota polis untuk dihantar ke HUS.

KUCHING: Seorang lelaki warganegara India ditemui mati dalam keadaan tergantung dengan tali rafia terikat pada lehernya di kuarters tempat kerjanya di Kota Sentosa dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Samidul Sekh, 32, dan disifatkan sebagai seorang yang pendiam oleh rakan-rakannya, kali terakhir dilihat sekitar jam 3 petang ketika berjalan menuju ke biliknya yang terletak di aras dua bangunan komersial tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa tidak turun semula selang beberapa jam dan rakannya terpaksa memanggilnya serta mendapati pintu bilik berkunci dari dalam.

“Selepas berkali-kali memanggil mangsa dan tiada respons daripadanya, rakan-rakannya menendang pintu tersebut sehingga terbuka dan terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan tergantung dengan tali rafia,” kata sumber.

Menurut sumber, rakan-rakan mangsa kemudian segera memaklumkan perkara tersebut kepada majikan mereka dan seterusnya melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan dalam kenyataannya mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu siasatan telah dijalankan di tempat kejadian.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemeriksaan awal ke atas badan mangsa tidak menjumpai kesan luka, lebam atau kesan darah dan tiada unsur-unsur jenayah terhadap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan seterusnya.

“Bedah siasat terhadap mayat mangsa hanya akan dilakukan selepas mendapat kebenaran daripada waris mangsa melalui kedutaan India di Malaysia,” katanya.

Punca kematian mangsa masih dalam siasatan dan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

  • oleh
  • Advertisement