Anda di sini

Bekas penolong jurutera MAIDAM dipenjara, denda

Advertisement
 Syed Ahmad (kiri) dipenjara dan denda RM32,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pada 2015. — Gambar Bernama
BERSALAH: Syed Ahmad (kiri) dipenjara dan denda RM32,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pada 2015. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Bekas penolong jurutera Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) semalam dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM32,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi kesalahan mengemukakan tuntutan palsu pada 2015.

Syed Ahmad Izzudin Syed Abdullah, 35, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM6,400  bagi pembekalan dan pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah di Pejabat MAIDAM pada 29 Dis 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tertuduh membayar RM3,000 sebagai kos.

Tertuduh diwakili peguam Wan Zainuddin Wan Musa dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah. — Bernama

Advertisement