Anda di sini

Bapa Altantuya jumpa Dr Mahathir berhubung kemungkinan siasatan semula

Advertisement
 Dr Mahathir ketika menerima kunjungan Dr Shaariibuu di Bangunan Perdana Putra, semalam. Turut hadir peguamnya Ramkarpal Singh (kiri). — Gambar Bernama
SELAMAT DATANG: Dr Mahathir ketika menerima kunjungan Dr Shaariibuu di Bangunan Perdana Putra, semalam. Turut hadir peguamnya Ramkarpal Singh (kiri). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Warga Mongolia Dr Shaariibuu Setev berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di sini semalam dan difahamkan Perdana Menteri bersetuju bagi penyiasatan semula dilakukan terhadap kes pembunuhan anak warga Mongolia itu Altantuya Shaariibuu sekiranya ada bukti baharu.

Peguam mewakili keluarga itu, Ramkarpal Singh, yang mengiringi Dr Shaariibuu ke Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini bagi membincangkan kemungkinan penyiasatan dibuka semula, berkata mereka menjelaskan keseluruhan proses kes itu kepada Perdana Menteri.

Ramkarpal Singh berkata Dr Mahathir sedar akan fakta kes itu dan menegaskan semuanya mesti mematuhi dan mengikut lunas undang-undang.

Altantuya dipercayai dibunuh dan badannya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10 malam, 19 Okt 2006, dan 1 pagi 20 Okt, 2006.

Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis  Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Mahkamah Rayuan mengubah hukuman mereka pada 2013 namun susulan rayuan pihak pendakwaan, hukuman terhadap mereka dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun Sirul melarikan diri ke Australia dan dia ditahan oleh Imigresen Australia di pusat tahanan di Sidney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.

Dia berada di pusat tahanan tersebut sejak 2015 dan berharap untuk mendapatkan suaka di Australia.

Ditanya hasil perjumpaan itu, Ramkarpal Singh berkata: “Ada harapan untuk menyelesaikan perkara itu berikutan terdapat beberapa petunjuk baharu kes itu. Kami gembira dengan perjumpaan ini dan positif akan mendapat hasil lebih baik dalam waktu terdekat.”

Katanya beliau yakin dengan penyiasatan polis dan Dr Mahathir, juga, telah berjanji bahawa kerajaan akan memberikan kerjasama dalam apa juga cara mengikut undang-undang.

Shaariibuu, yang kini berada di Malaysia untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab mengarahkan anaknya dibunuh dan motif pembunuhan itu, akan memberikan keterangan kepada polis sebelum beliau pulang ke Mongolia hari ini, menurut peguam itu.

“Langkah seterusnya adalah untuk membuat susulan dengan polis dan Peguam Negara berhubung status kes ini. Kami akan memberikan masa kira-kira tiga hingga empat bulan kepada polis  untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Ramkarpal Singh berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa polis, daripada penyiasatan mereka, tahu siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh.

“Saya tidak tahu sama ada ia melibatkan seorang individu atau lebih daripada seorang individu (yang mengarahkan pembunuhan). Kami berharap polis akan melakukan siasatan lebih lanjut.

“Identiti individu itu terlalu jelas dan penting. Tidak mungkin ia terlepas daripada penyiasatan terdahulu,” katanya.

Shaariibuu, menerusi jurubahasa, menzahirkan rasa syukur dan puas hati kerana berpeluang bertemu dengan Dr Mahathir semalam dan berkata beliau yakin kes pembunuhan anaknya di Malaysia 12 tahun lepas akan selesai secara muktamad.

“Benda paling berharga (dalam kehidupan) ialah sebagai seorang  manusia dan, dalam kes pembunuhan anak perempuan saya, undang-undang (keadilan) perlu ditegakkan,” katanya.

— Bernama

Advertisement