Anda di sini

Penguang seru sokongan penuh rakyat terhadap GPS

Advertisement
 Penguang serta isteri mengetuai upacara menggulung tikar sebagai simbolik Majlis ‘Gawai Ngiling Tikai’ di Rumah Sayun.
PENUTUP GAWAI: Penguang serta isteri mengetuai upacara menggulung tikar sebagai simbolik Majlis ‘Gawai Ngiling Tikai’ di Rumah Sayun.

MARUDI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil meminta rakyat di kawasan ini supaya terus memberi sokongan penuh kepada barisan kepimpinan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang 100 peratus milik rakyat negeri ini dan bersuara untuk mereka.

Bercakap kepada rakyat di kawasannya semasa Majlis Gawai Ngiling Bidai di Rumah Sayun Galan, Sungai Arang di Bakong Hilir di sini, beliau berkata GPS yang terdiri daripada empat parti komponen bekas Barisan Nasional (BN) iaitu PBB, SUPP, PRS dan PDP kini lebih bebas membuat keputusan berdasarkan inspirasi rakyat Sarawak.

Beliau menafikan tohmahan sesetengah pihak bahawa GPS sama seperti BN Sarawak yang hanya bertukar kulit ataupun seperti hanya ‘arak lama di dalam botol baharu’ dan beliau memberi jaminan GPS adalah berlainan.

“GPS adalah berbeza daripada BN Sarawak dahulu kerana konsep dan aspirasi kita untuk rakyat negeri ini tidak seperti sebelumnya, kita lebih bebas mengawal dan membuat keputusan untuk Sarawak berbanding bersama BN sebelum ini.

“Kita adalah pembangkang di peringkat kerajaan pusat tetapi kita adalah kerajaan bagi Sarawak sendiri dan untuk itu, kita akan mempunyai aspirasi untuk Sarawak dan percayalah, penubuhan GPS adalah untuk rakyat Sarawak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Penguang akan membawa ketua masyarakat di DUN Marudi untuk bermesyuarat dan membawa dua ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam masa terdekat ini, bagi memperjelas kedudukan PDP.

Pada majlis tersebut, Penguang yang juga ADUN Marudi turut menyerahkan cek Peruntukan Kecil Pembangunan Luar Bandar (MRP)  kepada JKKK Rumah Sayun Galan sebanyak RM25,000, Biro Wanita Rumah Sayun RM5,000 dan Persatuan Wanita  Rumah Pong sebanyak RM10,000.

Mengiringi ialah isterinya Datin Monica Ukong Jaya; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Alexander Asing Sadai, Pengerusi Majlis Daerah Marudi (MDM), Edward Mendai serta ketua-ketua masyarakat di sini serta Tuai Rumah (TR) Sayun Galan.

  • oleh
  • Advertisement