Anda di sini

Lelaki didakwa tanam bom buatan sendiri di ladang

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki menanam tiga biji bom buatan sendiri di sebuah kawasan ladang di Niah diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman empat hari.

Perintah itu dikeluarkan Pegawai Daerah Subis, Minggu Jempong setelah meluluskan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Andrew Binjua JR dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya Andrew memberitahu, pada 13 Jun lalu seorang penyelia ladang telah membuat laporan di Balai Polis Batu Niah.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 3.20 petang hari berkenaan di sebuah ladang di Niah, beliau telah dimaklumkan seorang pekerja terjumpa tiga biji bom buatan sendiri yang ditanam di kawasan ladang berkenaan.

Pengadu bersama dua anggota polis bantuan ladang pergi ke lokasi dimaksudkan untuk merampas bom berkenaan dan kemudian memaklumkan penemuan itu kepada pihak polis.

Bom itu dipercayai telah ditanam seorang lelaki yang dikenali memandangkan pihak pengurusan ladang telah terserempak lelaki terbabit bersama seorang rakan menaiki motosikal sambil membawa selaras senapang patah keluar dari kawasan ladang tersebut.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 10.30 malam, 17 Jun lalu di pekarangan Balai Polis Pusat Miri, polis berjaya menangkap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Andrew memberitahu memandangkan siasatan lanjut polis masih belum dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, justeru memohon reman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 48 tahun dari Skim Rancangan Sepupok, Niah.

Reman ke atas suspek akan tamat pada 22 Jun ini.

Advertisement