Anda di sini

KM13 Jalan Murum runtuh, lebih 20,000 terjejas

Advertisement
 Runtuhan yang awalnya kecil sahaja, kini semakin membesar dan hampir merosakkan seluruh struktur jalan di KM13 Jalan Murum.
BERBAHAYA: Runtuhan yang awalnya kecil sahaja, kini semakin membesar dan hampir merosakkan seluruh struktur jalan di KM13 Jalan Murum.

MIRI: Dianggarkan lebih 20,000 penduduk rumah panjang, pekerja dan ahli keluarga di beberapa ladang kelapa sawit dan di Empangan Hidro Murum berdepan dengan risiko terputus hubungan apabila jalan utama hampir runtuh sepenuhnya.

Seorang penolong pengurus ladang di salah sebuah syarikat perladangan di kawasan berkenaan memberitahu, kerosakan jalan di KM13 itu berlaku sejak April dan menimbulkan kebimbangan ramai ekoran keadaannya semakin berbahaya.

“Sebahagian laluan berkenaan mulai runtuh sejak dua bulan lepas, namun sehingga kini kerja-kerja membaikinya masih belum dilakukan mana-mana agensi berkaitan.

“Saya juga sudah mengambil beberapa imej bahagian-bahagian jalan ini yang runtuh dan memerlukan kerja-kerja pembaikan segera,” tambahnya lagi.

Pada awalnya kerosakan jalan tersebut bermula daripada rekahan dan runtuhan kecil sahaja ekoran hujan, namun lama kelamaan setelah tidak dbaiki, kerosakannya semakin besar dan kini sudah melebihi separuh lorong.

Beliau berkata, bukan sahaja penduduk rumah panjang, malah pekerja estet-estet perladangan kelapa sawit serta pekerja di Empangan Hidro Murum yang merupakan pengguna jalan tersebut melahirkan kebimbangan.

“Saya menganggarkan lebih 20,000 populasi di kawasan ini menggunakan laluan jalan tersebut, dengan estet kami sahaja mempunyai 5,000 pekerja dan ahli keluarga mereka.

“Ini belum termasuk beberapa estet (sekitar lima estet) milik syarikat perladangan yang lain serta pekerja di kawasan empangan dan lebih 10 rumah panjang dan perkampungan di kawasan ini,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, pengguna jalan dan penduduk kampung merayu kepada pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil langkah segera untuk membaiki jalan tersebut demi keselamatan awam dan sebelum berlakunya perkara tidak diingini.

Tambahan pula ia satu-satunya laluan keluar dan masuk ke kawasan Empangan Murum dan rumah-rumah panjang di sekitarnya.

Seorang lagi penduduk kampung yang menghubungi Utusan Borneo di sini semalam, memberitahu jika kerosakan jalan tersebut tidak dibaiki segera berikutan keadaan cuaca tidak menentu di kawasan tersebut, boleh menyebabkan laluan utama ke Empangan Murum dan rumah-rumah panjang sekitarnya terputus terus.

“Apa yang kita bimbangkan ialah jalan ini boleh runtuh sepenuhnya sedangkan inilah satu-satunya laluan yang menghubungkan kami dengan dunia luar,” jelas beliau kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Lebih berbahaya katanya, jika runtuhan berlaku semasa kenderaan melaluinya terutama kenderaan berat, kerana ketika ini juga jalan berkenaan sudah tidak selamat untuk dilalui, namun penduduk tidak mempunyai pilihan lain.

“Kita sudah memaklumkan dan mengadu mengenai masalah ini kerana pihak berkuasa berkaitan namun sehingga kini, selepas beberapa bulan berlaku, tiada satu pun tindakan diambil,” katanya lagi.

Advertisement