Anda di sini

Jalan terus ragut nyawa

Advertisement
 Keadaan kereta dipandu mangsa yang terperosok di bawah lori di KM103 Jalan Sibu-Bintulu, pagi semalam.
PERTEMBUNGAN MAUT: Keadaan kereta dipandu mangsa yang terperosok di bawah lori di KM103 Jalan Sibu-Bintulu, pagi semalam.

SIBU: Dua terbunuh dalam kemalangan berasingan di Jalan Sibu-Bintulu dan Jalan Mukah-Selangau, semalam.

Dalam kejadian pertama di KM103 Jalan Sibu-Bintulu berhampiran SMK Ulu Balingian, seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, mangsa dikenali sebagai Ting Guan Hui, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.

Katanya, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta yang dipandunya terperosok di bawah lori.

“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati kereta mangsa dikatakan sedang bergerak dari arah Bintulu apabila terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tersebut,” jelasnya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu lori yang berumur 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala, pasukan Bomba dari BBP Tatau diketuai PBK II Azman Hamit dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa.

Jimmy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk tujuan bedah siasat.

Sementara itu, dalam kemalangan kedua di KM55, Jalan Mukah-Selangau, seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam lima meter sekitar jam 2 petang semalam.

Jimmy berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Nuli Sulang, 27, berasal dari Rumah Juti, Sungai Bawan, Balingian.

Anak lelakinya yang berumur sembilan tahun mengalami kecederaan dalam nahas itu.

“Semasa kejadian, kereta yang dipandu mangsa menuju ke arah Mukah terbabas ke kanan jalan lalu terjatuh ke dalam gaung dari ketinggian lima meter,” ujarnya sambil menambah, mangsa tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jimmy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk tujuan bedah siasat.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dan keadaan cuaca baik,” kata beliau.

Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • oleh
  • Advertisement