Anda di sini

SPRM, polis diminta siasat salah guna kuasa bazar Ramadan

Advertisement
 Syed Saddiq hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membuat laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan Mohd Noorhisyam berhubung mengutip jumlah sewa berlebihan daripada peniaga Bazar Ramadan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. — Gambar Bernama
SIASAT: Syed Saddiq hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membuat laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan Mohd Noorhisyam berhubung mengutip jumlah sewa berlebihan daripada peniaga Bazar Ramadan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Ketua Armada Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam isu mendapatkan tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata siasatan perlu dilakukan sehingga ke ‘lubang cacing’ supaya pihak yang bertanggungjawab dapat dikenakan tindakan yang sewajarnya oleh PPBM, SPRM dan polis.

“Sebagai Ketua Armada PPBM, saya tidak akan bertoleransi kalau ada apa-apa unsur rasuah atau salah guna kuasa waima daripada ahli parti sendiri pun.

“Pada masa yang sama, sebagai Ahli Parlimen, saya bertanggungjawab memastikan supaya kes penyelewengan dan salah guna kuasa dibanteras secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM di sini, semalam ketika mahu membuat laporan berhubung isu itu.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata beliau difahamkan Ketua Armada PPBM Bukit Bintang Mohd Noorhisyam Abdul Karim turut membuat laporan polis bagi mempertahankan namanya dalam isu berkenaan.

“Itu adalah hak beliau (Mohd Noorhisyam),” katanya.

Syed Saddiq berkata beliau sudah berkomunikasi dengan peniaga yang terlibat dalam kes berkenaan dan portal yang mendedahkan perkara tersebut.

Ditanya mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas pihak bertanggungjawab, beliau enggan membuat sebarang spekulasi namun menegaskan isu berkenaan adalah serius dan bukan sekadar isu peringkat parti semata-mata.

Baru-baru ini, sebuah portal mendakwa Ketua Armada PPBM Bukit Bintang itu menggunakan kuasa politik untuk mengutip jumlah sewa berlebihan daripada peniaga bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Ekoran pendedahan itu pada 14 Jun lepas, satu laporan polis dibuat oleh Anggota Majlis Tertinggi PPBM Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Mohd Noorhisyam didakwa mengutip wang sehingga RM5,000 daripada peniaga bazar di Masjid India setelah didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazar dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Media melaporkan bahawa surat DBKL kepada Mohd Noorhisyam menunjukkan bahawa 80 lot telah diluluskan selama sembilan hari dengan bayaran RM6,238. — Bernama

Advertisement