Anda di sini

Shafie: Banyak kerja perlu dibuat

Advertisement
KANAK-kanak ini turut tidak melepaskan peluang bersalam dengan Shafie semasa menghadiri majlis rumah terbuka di kediaman Dr. Azman di Tawau.
KANAK-kanak ini turut tidak melepaskan peluang bersalam dengan Shafie semasa menghadiri majlis rumah terbuka di kediaman Dr. Azman di Tawau.

TAWAU: Tempoh bulan pertama pentadbiran Kerajaan Negeri Baharu disifatkan ‘banyak kerja mahu dibuat’ malah banyak pembaharuan demi kepentingan rakyat perlu dilakukan.

Berikutan itu, semua Yang Berhormat (YB) diingatkan bekerja keras untuk rakyat ketika kerajaan berslogankan Sabah Baharu itu memasuki fasa bulan kedua usia pentadbirannya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri mahu membuat lawatan mengejut ke kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan pejabat jabatan/ agensi kerajaan untuk lebih menyelami keadaan sebenar yang berlaku.

Pemimpin Kerajaan Sabah Baharu itu mengakui dalam tempoh sebulan pentadbirannya, banyak isu yang dikesan berlaku semasa era pentadbiran Kerajaan Negeri terdahulu.

“Di Sabah banyak isu, ‘duitpun banyak yang hilang’, tetapi kita akan teliti secara mendalam berhubung isu-isu yang memerlukan tindakan undang-undang,” katanya.

Shafie berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui saat menghadiri majlis rumah terbuka Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr. Azman Ibrahim di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sabah Baharu menggunakan pendekatan yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira perbezaan pendirian ideologi politik.

“Seperti yang kita nyatakan, beberapa perkara pasti dilaksanakan dan Kerajaan Negeri menyokong keputusan Kerajaan Pusat memansuhkan Cukai Barangan dan Jualan (GST).

“Dari segi pemansuhan pemberian tanah menerusi geran komunal pula, sedikit masa lagi kita (Kerajaan Negeri) akan melakukan pembaharuan berhubung perkara itu,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga tidak ada halangan jika kem pembangkang mahu menggunakan fasiliti awam seperti dewan masyarakat, demi kepentingan rakyat.

“Dahulu (semasa dalam kem pembangkang) kami sukar jika mahu menggunakan fasiliti terbabit,” katanya ketika mengulas keterbukaan pendekatan kerajaan pimpinannya.

Menyentuh mesejnya kepada semua YB dalam kem kerajaan pula beliau mengingatkan supaya jangan melupakan rakyat kerana pencapaian mereka hasil undi yang diterima.

“Kita tidak mahu mereka (YB) hanya di pejabat setiap minggu atau bulan, atau hanya dengar cadangan buat jalan, tetapi kena siasat jika benar jalan diperlukan atau tidak.

“YB-YB kita kena turun ke bawah untuk menjalankan pemeriksaan, bukan sekadar bersandarkan kepada maklumat di WhatsApp, kerana mungkin betul atau sebaliknya.

“Bukan hanya YB-YB, bahkan pegawai-pegawai kerajaan yang menjadi ketua-ketua jabatan juga perlu memastikan keperluan dan kehendak rakyat diketahui,” katanya.

Shafie turut mengharapkan pemberita dan media massa melaporkan masalah atau isu sebenar yang berlaku di sekitar negeri ini, bukannya menyebarkan cerita yang tidak betul.

“Kita sebarkan perkara mengikut keperluan dan kehendak rakyat kerana kita mahu dengar, (misalnya) kalau benar ada laporan berita daripada pemberita mengatakan kes jalan rosak.

“Saya tahu banyak kerja perlu kita lakukan dan saya yakin perkara ini bukannya mudah, kerana lebih mudah mengambil-alih kerajaan berbanding mengurus kerajaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement