Anda di sini

Kemungkinan siasatan baharu dalam pembunuhan Altantuya

Advertisement
Shaariibuu (kanan) bersama Ramkarpal Singh selepas mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Shaariibuu (kanan) bersama Ramkarpal Singh selepas mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Siasatan  baharu mungkin dijalankan ke atas kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu, 12 tahun lalu.

Bapanya, Dr Shaariibuu Setev yang kini berada di Malaysia bagi mengetahui siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dan motifnya, telah bertemu dengan Peguam Negara Tommy Thomas dan dijangka mengunjungi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad esok.

Peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh berkata petunjuk baharu dibangkitkan pada pertemuan antara Shaariibuu dan Thomas di Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini.

Bercakap kepada pemberita di lobi AGC selepas pertemuan itu, Ramkarpal Singh berkata ada peluang cerah untuk kes tersebut dibuka semula.

“Tidak ada keputusan akhir pada peringkat ini namun ada isyarat yang  siasatan lanjut akan dijalankan. Itu dalam perancangan dalam masa terdekat. Saya tidak boleh letak rangka masa. Kami tidak bincang tentang rangka masa. Ia tidak akan ditetapkan kerana isu tersebut merupakan perkara yang tertangguh sejak sekian lama,” katanya.

Ramkarpal Singh berkata beliau telah membangkitkan tentang petunjuk baharu pada pertemuan itu dan Thomas bersetuju petunjuk sedemikian boleh menjadi asas untuk penyiasatan.

“AG akan melihat isu (petunjuk baharu) itu lebih lanjut,” katanya.

Ditanya mengenai suruhanjaya siasatan diraja (RCI), Ramkarpal Singh berkata RCI hanya satu pilihan.

“Jika isu itu dapat diselesaikan menerusi siasatan lanjut maka tidak perlu RCI,” katanya.

Altantuya dipercayai ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang antara 10 malam pada 19 Okt 2006 dan 1 pagi 20 Okt 2006.

Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis  Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah atas pembunuhan Altantuya.

Mahkamah Rayuan menterbalikkan hukuman mereka pada 2013 namun susulan rayuan pihak pendakwaan, hukuman  terhadap mereka dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun Sirul melarikan diri ke Australia di mana dia ditahan oleh Imigresen Australia di pusat tahanan di Sidney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya. Dia berada di pusat tahanan tersebut sejak 2015 dan berharap untuk mendapatkan suaka di Australia.

Ditanya mengenai kemungkinan Sirul diekstradisi dari Australia, Ramkarpal Singh berkata beliau berpandangan langkah tersebut tidak perlu bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

“Ada petunjuk lain di Malaysia yang boleh membuka ruang untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, Shaariibuu yang kelihatan tenang semasa tiba di AGC dan sepanjang sidang media tersebut, berkata beliau hanya mahukan keadilan dan tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.

Beliau berkata demikian dalam bahasa Mongolia dan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris oleh penterjemah yang mengiringi beliau ke Malaysia. - BERNAMA
 

Advertisement