Anda di sini

Jualan amal untuk THM disambut baik di Sibu

Advertisement
 Oscar (tiga kanan), Alice (lima kanan), David (tiga kiri), Irene (kanan) dan Amy (empat kanan) serta yang lain memotong reben perasmian program jualan amal Tabung Harapan Malaysia.
RASMI: Oscar (tiga kanan), Alice (lima kanan), David (tiga kiri), Irene (kanan) dan Amy (empat kanan) serta yang lain memotong reben perasmian program jualan amal Tabung Harapan Malaysia.
 Orang ramai hadir memeriahkan program jualan amal kutipan Tabung Harapan Malaysia di pusat komersial Rejang Park semalam.
MERIAH: Orang ramai hadir memeriahkan program jualan amal kutipan Tabung Harapan Malaysia di pusat komersial Rejang Park semalam.
 Menu ayam panggang yang turut dijual pada jualan amal.
SEDAP: Menu ayam panggang yang turut dijual pada jualan amal.

JUALAN amal anjuran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sibu dan Sungai Merah untuk Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi membantu kerajaan mengatasi masalah hutang negara disambut baik masyarakat di Sibu.

Orang ramai hadir memeriahkan program yang diadakan di depan pejabat DAP Sibu di Pusat Komersial Rejang Park dekat Sibu, seawal jam 7 pagi untuk memberi sumbangan bagi meringankan beban ditanggung kerajaan.

Pengerusi pengelola Amy Lau berkata, mereka yakin sasaran kutipan RM50,000 dapat dicapai kerana hasil jualan kupon telah mencecah RM45,000 untuk mengumpul sumbangan bagi THM.

“Jumlah itu melebihi sasaran awal RM30,000.

“Kami berterima kasih kepada sokongan orang ramai dan penaja yang tampil memberi sumbangan untuk dijual pada jualan amal hari ini,” jelasnya kepada pemberita kelmarin.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling turut berterima kasih kepada masyarakat di Sibu yang memiliki rasa tanggungjawab dan menyayangi negara dengan tampil memberi sumbangan semampunya.

“Sambutan jualan amal hari ini di luar jangkaan kita kerana ramai yang hadir bukan hanya membeli kupon untuk membeli barangan jualan, mereka datang memberi sumbangan wang tunai demi semangat cintakan negara.

“Sumbangan anda sedikit sebanyak membantu usaha kerajaan. Saya juga berterima kasih kepada ahli-ahli parti yang hadir seawal jam 3.30 pagi untuk melakukan persiapan untuk menjayakan penganjuran program jualan amal,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong berharap lebih ramai syarikat di Sarawak akan tampil menghulurkan sumbangan mereka untuk Tabung Harapan Malaysia demi masa depan generasi akan datang.

Penganjuran program jualan amal merupakan inisiatif masyarakat dan dilancarkan pada 31 Mei lepas bagi membantu kerajaan melunaskan hutang dan liabiliti persekutuan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lanang Alice Lau dan ADUN Bukit Assek Irene Chang.

Advertisement