Anda di sini

JEWEL terima aduan kes dera kanak-kanak setiap bulan

Advertisement
 Beg tangan Hermes Birkin berusia 12 tahun yang diperbuat daripada ‘Crimson Togo Leather’ milik Tun Aminah yang akan dibida bagi mengumpul dana untuk kempen kesedaran penderaan seksual kanak-kanak anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL). — Gambar Bernama
DILELONG: Beg tangan Hermes Birkin berusia 12 tahun yang diperbuat daripada ‘Crimson Togo Leather’ milik Tun Aminah yang akan dibida bagi mengumpul dana untuk kempen kesedaran penderaan seksual kanak-kanak anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL). — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL) menerima aduan mengenai kes penderaan seksual dan fizikal membabitkan kanak-kanak hampir setiap bulan di negeri ini.

Pengerusinya Liza Alip berkata hal tersebut agak membimbangkan kerana sekurang-kurangnya setiap bulan terdapat tiga hingga empat aduan diterima iaitu satu aduan setiap minggu.

“Mereka (mangsa dan keluarga) bimbang sekiranya aduan yang dibuat kepada pihak berwajib memakan masa yang lama untuk diambil tindakan dan mereka juga takut terhadap keselamatan mereka.

“Justeru, mereka datang kepada kami (JEWEL) dan pihak kami akan sentiasa memantau dan memastikan setiap aduan itu diambil tindakan segera dan diberi perhatian pihak berwajib,” katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai usaha pengumpulan dana amal bagi Kempen Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-kanak JEWEL, di sini, semalm.

Liza berkata lazimnya, mangsa yang bersekolah rendah akan ditemani keluarga ketika datang membuat aduan kepada JEWEL dan membuat laporan polis terlebih dahulu.

Beliau berkata bagi meningkatkan kesedaran mengenai penderaan seksual, pihaknya turut memberi latihan kepada guru di 906 sekolah rendah di negeri ini dalam mengendalikan latihan mengenai kesedaran penderaan seksual kepada murid khususnya mangsa dera.

Liza berkata latihan tersebut dimulakan sejak tahun lepas menerusi kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDAK).

“Jewel sedar terdapat mangsa yang malu untuk tampil ke hadapan dan tidak berani membuat aduan. Oleh itu, kami turut bekerjasama antaranya dengan pihak hospital bagi memberikan kaunseling untuk ubah minda mereka dan beri kesedaran mengenai kes penderaan ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai pengumpulan dana amal dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor itu, Liza berkata ia akan diadakan menerusi majlis minum petang bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada Khamis ini di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Beliau berkata empat barang eksklusif akan dibida bagi meraih dana kempen tersebut termasuk beg tangan berjenama Hermes Birkin milik Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim yang berusia hampir 12 tahun.

Pokok bunga orkid jenis Phalaenopsis hibrid baharu akan turut dibidakan di mana pembida tertinggi berhak menamakan orkid berkenaan selain dua pakaian yang sebelum ini dipakai oleh Duchess of Cambridge Kate Middleton dan Duchess of Sussex Meghan Markle hasil rekaan Han Cong, katanya. — Bernama

Advertisement