Anda di sini

Dua warga emas disyaki merogol budak direman seminggu

Advertisement

MIRI: Dua lelaki warga emas, di mana seorang daripadanya pendatang asing tanpa izin dari Indonesia, yang ditangkap kerana disyaki merogol seorang murid perempuan berusia lapan tahun, diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tujuh hari.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Brian Bryan Mason setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Wira Sumbin dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya Wira memberitahu, pada 16 Jun lalu seorang ibu telah membuat laporan di Balai Polis Batu Niah mendakwa anak perempuannya yang berusia lapan tahun telah dirogol dua jirannya.

Dalam aduannya, pengadu, 40, mendakwa sekitar jam 5 petang, 14 Mei lalu, beliau dimaklumkan dua guru wanita di sekolah anaknya bahawa anak pengadu (mangsa) pernah mengadu kepada mereka bahawa dia telah dirogol dua lelaki yang merupakan jirannya.

Bertindak atas maklumat yang diterima, sekitar jam 11.10 malam, 16 Jun lalu, sepasukan anggota polis diketuai ASP Unang Giang pergi ke sebuah rumah di Kampung Muhibah Ladang 3, Subis untuk menangkap dua lelaki yang masing-masingnya mengalami kecederaan yang diserahkan orang kampung.

Kedua-dua suspek yang berusia 57 dan 62 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya, Wira memberitahu bahawa reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kedua-dua suspek masing-masing dari Kampung Muhibah Ladang 3 Subis dan Sulawesi Selatan, Indonesia amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa dan membebaskan kedua-dua suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari ke atas kedua-dua suspek dan tempoh reman mereka akan tamat pada 24 Jun ini.

Advertisement