Anda di sini

Vendor Proton perlu hasilkan bahagian bagi kereta elektrik dan hijau

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dalam usaha vendor Proton menaik taraf kepada pusat 4S, mereka perlu menumpukan kepada teknologi baharu dan mengeluarkan bahagian-bahagian bagi kereta elektrik dan kenderaan hijau, kata pakar ekonomi terkemuka, Dr Yeah Kim Leng semalam.

Ini sejajar dengan rancangan Geely, rakan kongsi strategik asing Proton untuk menjadi pengeluar kereta elektrik nombor satu di China.

“Jika mereka (Geely) boleh memindahkan sebahagian daripada teknologi, ia akan memberi prospek yang baik bagi Malaysia apatah lagi sekiranya mereka menjadikan negara ini hab pengeluaran bagi menembusi pasaran ASEAN,” katanya.  

Kerjasama Proton-Geely juga merupakan satu langkah strategik memandangkan industri kereta yang sangat kompetitif ketika ini, katanya dalam satu temu bual.   

“Selain keupayaan kewangan yang kukuh, pengeluar kereta terkemuka China itu juga mempunyai keupayaan teknologi yang penting,” katanya dalam satu kenyataan yang mengandungi petikan daripada temu bual itu.   

Dr Yeah berkata hanya pemain global boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam pasaran yang semakin kompetitif ini.  Sebaliknya,’syarikat kecil dan khusus serta syarikat kereta nasional akan berdepan cabaran amat sukar kerana mereka tidak mempunyai ekonomi bidangan’.  

Apa yang lebih penting, mereka tidak mempunyai keupayaan penyelidikan dan pembangunan dan kewangan yang kukuh untuk terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, dan menambah baik reka bentuk kereta, katanya.  

“Sudah tentunya dalam usaha ke arah penggunaan teknologi baharu, kenderaan elektrik pada masa depan dan hibrid daripada enjin pembakaran dalaman adalah sangat penting,” kata Dr Yeah.

Bagi vendor dan pengeluar kereta, melainkan mereka menyesuaikan diri dan menambah baik teknologi, terutamanya sejajar dengan perubahan trend ke arah kenderaan hijau, ‘masa depan boleh dianggap pesimis’, katanya sambil menambah cara untuk berjaya adalah dengan bertukar kepada kereta elektrik dan cekap tenaga.  

Trend ke arah kenderaan elektrik jelas kelihatan di Eropah dan hanya menunggu masa sahaja sebelum trend itu menular di China, kata Dr Yeah sambil menyebut hakikat bahawa China sudahpun memulakan pembuatan kereta elektrik secara besar-besaran.  

Bagi Malaysia dan Proton, beliau berkata: “Lebih cepat kita mengikuti trend ini, akan lebih besar potensinya kepada negara untuk muncul sebagai hab pembuatan serantau bagi syarikat global”.  

Satu daripada faktor kejayaan kritikal, beliau berkata, mereka (vendor) perlu mempunyai rangkaian pengedaran yang sangat kukuh bukan hanya dari segi jualan, tetapi juga dari segi servis dan memastikan semua jaminan dipenuhi agar kepuasan pelanggan mereka menjadi keutamaan nombor satu dalam industri kereta.  

Bagi mengekalkan nilai jualan semula, katanya, perkhidmatan sokongan dan rangkaian kukuh adalah suatu yang penting.   

“Proton melakukan perkara yang betul dengan mengukuhkan rangkaian pengedarannya, menaikkan tarafnya menjadi bilik pameran yang menjadi pilihan pembeli kereta yang berpotensi.  

“Prasyarat penting adalah kebolehpercayaan, kos pengeluaran rendah dan harga kompetitif bagi menarik pembeli kereta.  

“Kami difahamkan bahawa kos pengeluaran, terutamanya bagi model kereta China, sebenarnya satu pertiga lebih rendah dari segi kos pengeluaran selain mempunyai ciri-ciri canggih,” katanya.

Menurutnya, Proton akan mempunyai masa depan yang sangat baik sekiranya ia boleh menyerap sebahagian daripada teknik pengeluaran ini dan kemajuan teknologi untuk mengurangkan kos mereka dan menawarkan insentif kos efektif. — Bernama

Advertisement