Anda di sini

Rakyat Malaysia perlu lebih proaktif untuk Tabung Harapan Malaysia

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu lebih proaktif menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia termasuk menganjurkan pelbagai aktiviti pengumpulan dana masyarakat di seluruh negara bagi membantu kerajaan mengurangkan hutang negara.

Bercakap sebagai seorang kebanyakan, pensyarah fakulti perubatan Prof Dr G. Suresh Kumar (gambar) mencadangkan supaya rakyat Malaysia yang mampu, menyumbangkan RM100 sebulan untuk inisiatif tersebut.

“Saya fikir sebagai rakyat Malaysia kita harus melakukan usaha kita untuk meringankan beban dan menjadi contoh yang baik. Sekiranya sejuta orang boleh menyumbang RM100 sebulan, kita akan mempunyai RM100 juta sebulan, dalam satu tahun, anda belanjakan RM1,200 dan akan dapat pengecualian cukai.

Mereka yang tidak mampu menyumbang RM100 masih boleh membantu dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, seperti merokok dan minum alkohol, dan menyalurkan wang yang dijimatkan itu ke dalam tabung berkenaan," kata Ketua Jabatan Parasitologi Universiti Malaya itu.

Sejak dilancarkan pada 30 Mei, kira-kira RM74.6 juta (sehingga 3 petang, Ahad) telah disumbangkan ke tabung itu oleh rakyat Malaysia yang patriotik.

"Kita juga memerlukan lebih banyak program pengumpulan dana dan aktiviti sukarela daripada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti inisiatif mencuci kereta oleh sekumpulan remaja di Jalan Klang Lama dua minggu lalu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Diilhamkan oleh warga Korea Selatan yang beratur untuk mendermakan barang berharga mereka untuk menyelamatkan negara Asia Timur itu semasa  krisis kewangan 1997, di mana 226 tan metrik emas telah dikumpulkan dalam kempen 1998 itu, Dr Suresh Kumar berkata ia adalah contoh yang rakyat Malaysia harus tunjukkan kepada dunia.

"Bolehkah anda bayangkan orang ramai dari semua lapisan masyarakat berbaris untuk mendermakan emas mereka untuk negara kesayangan mereka? Daripada cincin perkahwinan, rantai emas ke pingat emas dimenangi atlet. Kita harus melakukan sesuatu untuk menyelamatkan ibu Pertiwi yang sakit. Mungkin organisasi terkenal harus memulakannya, " katanya.

Dr Suresh Kumar juga mencadangkan supaya rakyat Malaysia untuk tidak bercuti ke luar negara pada masa ini dan sebaliknya bercuti dan membelanjakan wang mereka dalam negara dan produk tempatan bagi merangsang ekonomi tempatan.

Kerajaan telahpun memulakannya dengan memotong gaji menteri-menteri, mengurangkan bilangan kementerian dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan kini sudah tiba masanya untuk 'rakyat' melakukan usaha mereka, katanya.

Derma kepada Tabung Harapan boleh dibuat melalui deposit di akaun Maybank 566010626452. Pengecualian cukai juga akan diberikan kepada semua penderma, termasuk syarikat. - BERNAMA
 

Advertisement