Anda di sini

Lelaki Indonesia mati dihempap keranda ibunya

Advertisement

MAKASSAR: Seorang warga Indonesia maut apabila keranda ibunya terjatuh dari sebuah menara pengebumian dan menghempapnya sewaktu satu upacara di Pulau Sulawesi, kata polis semalam.

Samen Kondorura, 40, maut Jumaat lepas apabila pengusung keranda terjatuh ketika membawa keranda menaiki tangga buluh di lembah Parinding dalam daerah Toraja Utara, kata polis tempatan.

Keranda itu terjatuh ketika kumpulan berkenaan hendak mengangkatnya ke atas ‘lakkian’, sebuah menara yang diukir dengan teliti dan cantik di mana si mati diletakkan sebelum upacara pengebumian tradisional yang terperinci.

“Ketika keranda si ibu sedang diangkat ke atas ‘lakkian’, tiba-tiba tangga beranjak dan runtuh, keranda terjatuh dan menghempap mangsa,” kata Julianto Sirait selaku ketua pesuruhjaya polis pusat peranginan Tana Toraja, kepada AFP.

Video dari tempat kejadian, yang telah tular dalam tali-an, menunjukkan tangga tergelincir ketika keranda hendak memasuki menara, yang menyebabkan para pengusung keranda terjatuh beberapa meter ke tanah di mana mangsa dihempap keranda.

Orang ramai yang terkejut bergegas untuk membantu lelaki-lelaki terbabit tetapi Kondorura meninggal dunia kemudian di hospital.

Sirait berkata kecelakaan itu berlaku kerana tangga tidak diikat dengan cukup baik tetapi keluarga terbabit enggan membuat pendakwaan. 

Mayat Kondorura kini bersemadi di sisi mayat ibunya Berta, ujarnya.

Apabila penduduk etnik Toraja meninggal dunia, penduduk tempatan mengadakan pengebumian terperinci yang boleh berlangsung selama berhari-hari dan membabitkan muzik, tarian dan korban kerbau. — AFP

Advertisement