Anda di sini

Konsep ‘minimalis’ pilihan baju raya tahun ini

Advertisement
 Alia memastikan material kain yang dijual di butiknya jenis sejuk, selesa dipakai dan tidak rasa melekit atau gatal pada badan bersesuaian dengan konsep ‘minimalis’, trend baju raya pada tahun ini. — Gambar Bernama
JAGA KUALITI: Alia memastikan material kain yang dijual di butiknya jenis sejuk, selesa dipakai dan tidak rasa melekit atau gatal pada badan bersesuaian dengan konsep ‘minimalis’, trend baju raya pada tahun ini. — Gambar Bernama
 Salikin membuat pola untuk rekaan bajunya ketika temu bual eksklusif bersama wartawan Bernama di Butik Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. — Gambar Bernama
PROSES AWAL: Salikin membuat pola untuk rekaan bajunya ketika temu bual eksklusif bersama wartawan Bernama di Butik Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. — Gambar Bernama
__alt__

SUDAH beli baju raya?” “Baju apa beli raya ini?” Ini antara soalan lazim kita dengar menjelang 1 Syawal.

Kalau hendak diikutkan siapa yang tidak mahu kelihatan cantik dan tampan pada pagi raya? Tanyalah sesiapa sahaja, sama ada lelaki mahupun perempuan, orang dewasa mahupun kanak-kanak, pasti semua teruja untuk menggayakan pakaian baharu pada pagi raya.

Malah ada yang sanggup berbelanja besar membeli berpasang-pasang pakaian baharu. Ada juga membuat persiapan awal sehingga membuat tempahan beberapa bulan sebelum kedatangan Ramadan lagi. Ini untuk memastikan fesyen busana yang diidamkan dapat digayakan semasa Aidilfitri.

Bagi yang tidak berkesempatan menempah baju, pilihan terbaik sudah tentu gedung beli-belah atau pasar raya, di samping destinasi beli-belah tidak asing lagi di ibu kota Kuala Lumpur iaitu Jalan Tuanku Abdul Rahman atau popular dikenali sebagai Jalan TAR.

Bercakap mengenai baju raya sama ada baju Melayu atau baju kurung, sememangnya terdapat pelbagai fesyen untuk memenuhi kehendak pembeli.

Fesyen busana wanita umpamanya pernah direka sarat dengan batu permata atau ada yang hanya polos tanpa sebarang perincian hiasan. Ada juga busana yang terlalu moden dan ‘glamour’!

Jadi, bagaimana pula dengan tahun ini? Fesyen apakah yang digayakan pada lebaran ini?

Konsep ‘minimalis’

Kalau dilihat pada tahun lepas, rekaan busana yang mengetengahkan ropol dan lengan baju potongan seperti loceng ‘bell sleeves’, perhiasan kerlipan batu permata dan labuci yang terlalu sarat persis ‘puteri di raja’ menjadi pilihan majoriti wanita untuk digayakan pada hari lebaran. Harga pakaian boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada batu serta manik yang digunakan.

Manakala tiga tahun sebelumnya, busana ala-ala pakaian biduanita terkenal negara, Allahyarhamah Saloma iaitu cekak di bahagian pinggang dan kembang di bawahnya yang dikenali sebagai ‘peplum’ menjadi kegilaan ramai anak muda wanita pada masa itu.

Bagaimanapun, menurut Alia Najihah Alias, 26, pemilik butik Mek Kembang Cotton, keadaan agak berbeza tahun ini. Fesyen ‘peplum’ mahupun busana persis kimono dan juga yang sarat dengan kerlipan batu permata bukan lagi menjadi pilihan ramai.

Menurut anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini, bagi yang mengikuti perkembangan fesyen, pastinya mengetahui bahawa fesyen yang popular untuk baju raya masa kini ialah busana muslim yang mempunyai tema ringkas atau juga dikenali sebagai ‘minimalis’.

“Untuk tahun ini, kebanyakan pemilik butik dan pereka fesyen memenuhi ruang jualan mereka dengan busana yang tidak mempunyai perincian terlalu ‘berat’ seperti batuan permata yang penuh mahupun jenis bell sleeves pada lengan mereka.

“Kebanyakannya sudah tidak mahu menggayakan busana begitu tetapi lebih kepada yang minimalis iaitu tidak sarat dengan hiasan labuci mahupun manik tetapi tetap kelihatan anggun, moden, elegan dan mewah ketika digayakan,” katanya kepada Bernama.

Beliau menganggarkan harga busana minimalis adalah antara RM100 hingga RM3,000 bergantung kepada pereka fesyen, fabrik dan motif yang digunakan.

Pilih yang selesa

Beliau yang mempunyai dua butik di Kuantan dan Bangi ini berkata hasil kajiannya sebelum ini mendapati kebanyakan wanita mulai cenderung membeli baju raya yang tidak berat perinciannya supaya mudah bergerak dan boleh juga dipakai ke pejabat.

Busana seperti peplum serta yang terlampau sarat dengan batu permata dilihat tidak begitu sesuai dipakai ke pejabat kerana dikatakan hiasannya yang terlalu ‘meriah’ sehingga ada usikan nakal melabelkan ia seolah-olah ‘baju pengantin’.

“Pada hari raya, wanita memang antara individu yang sibuk di dapur, melayan tetamu dan sebagainya. Disebabkan itu, mereka menginginkan baju yang selesa dan mudah bergerak.

“Tidak kisahlah baju kurung moden, baju kedah mahupun kebaya, yang penting ‘ringkas’ dan disebabkan itu saya memang fokus pada konsep minimalis tetapi masih tetap ada nilai tradisionalnya.

“Antara yang paling mendapat sambutan di butik saya ialah baju kebaya dan kedah moden. Berikutan saingan hebat, keunikan minimalis di butik ini adalah terletak pada rekaan motif busana yang direka khusus oleh saya selain potongan baju berkenaan,” katanya.

Menurut Alia Najihah, pemerhatiannya juga mendapati pemilihan busana raya pada masa ini tidak lagi hanya tertumpu pada rekaan sesuatu pakaian semata-mata tetapi semakin ramai wanita mula mengambil berat jenis fabrik.

Berbanding sebelumnya, memang ada yang tidak kisah dengan jenis fabrik asalkan busana kelihatan anggun dan cantik pada pagi raya.

“Ramai mula menginginkan material jenis sejuk, selesa dipakai dan tidak rasa melekit atau gatal pada badan kerana biasanya baju itu akan dipakai seharian.

“Oleh kerana butik saya hanya fokus pada fabrik kain kapas, keutamaan jenis yang sejuk dan ‘stretchable’ sesuai buat wanita yang gemarkan rekaan agak mengikut bentuk badan,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan tempahan baju siap dalam tempoh 24 jam ini.

Pakaian tradisional masih digemari

Di sebalik trend minimalis dan busana moden, permintaan serta sambutan pakaian tradisional wanita mahupun baju Melayu lelaki masih lagi tinggi untuk digayakan semasa Syawal nanti.

Menurut Salikin Sidek, 50, pereka fesyen yang terkenal dengan sentuhan gaya tradisional Melayu, butik beliau sering menjadi tumpuan bagi mereka yang mahu tampil cantik dan tampan dengan potongan rekaan baju klasik.

“Untuk raya kali ini, saya menerima tempahan sebanyak 300 busana klasik. Biasanya pelanggan akan datang membuat tempahan mulai enam bulan sebelum tiba Ramadan dan kita akan berhenti mengambil tempahan dua bulan sebelum menjelang raya.

“Manakala, sebanyak 500 hingga 1,000 untuk koleksi baju tradisional wanita dan baju Melayu lelaki sama ada yang cekak musang mahupun potongan teluk belanga yang sudah siap dijahit dijual di butik ini.  

“Antara busana klasik popular yang menjadi rebutan di butik saya ialah baju kurung Johor dan baju kurung Kedah. Ini membuktikan busana tradisional tetap diminati walaupun terdapatnya pelbagai fesyen moden baju raya di pasaran,” kata Salikin yang menambah beliau turut  bekerjasama dengan FashionVallet dan Bebenang Suci untuk jualan busana klasik.

Berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang fesyen, Salikin berkata ciri klasik sesuatu busana itu diserlahkannya melalui penggunaan fabrik tertentu seperti kain Tenun Pahang Diraja, songket bunga Tabur serta rekaan potongan dan jahitan itu sendiri.

Baju Melayu

Beroperasi di Mahligai Salikin Sidek di Wangsa Maju, butik beliau turut mengetengahkan baju kebaya labuh Kuala Selangor, baju kurung Johor teluk belanga, baju kurung cekak musang dan baju Riau Pahang pesak gantung.

Bagi lelaki pula, baju Melayu yang diinspirasikan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang terkenal dengan gayanya yang gemar menyarung baju Melayu teluk belanga, antara paling banyak disukai pada masa ini.

Selain itu, baju Melayu cekak musang tanpa ada potongan pesak dan fesyen kurta turut menjadi pilihan golongan lelaki yang gemarkan gaya kemas dan inginkan kelihatan segak pada hari lebaran. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement