Anda di sini

Jambatan kaca menjadi tarikan baharu di Taman Buaya Langkawi

Advertisement
 Seekor buaya air masin kelihatan berenang di bawah kolam khas di Crocodile Adventureland Langkawi, sebuah taman buaya yang disediakan oleh Taman Buaya Langkawi Sdn Bhd. — Gambar Bernama
TARIKAN PELANCONG: Seekor buaya air masin kelihatan berenang di bawah kolam khas di Crocodile Adventureland Langkawi, sebuah taman buaya yang disediakan oleh Taman Buaya Langkawi Sdn Bhd. — Gambar Bernama

LANGKAWI: Crocodile Adventureland Langkawi, satu daripada kawasan tarikan pelancong di pulau peranginan ini yang dibangunkan oleh Taman Buaya Langkawi Sdn Bhd, merancang membina jambatan kaca yang pertama dan paling panjang di Malaysia, tahun depan.

Jambatan kaca sepanjang 300 meter merentasi kolam yang penuh dengan buaya raksasa di taman yang terletak di Jalan Datai di sini itu akan menambahkan debaran dan keseronokan kepada pelawatnya, kata Pengurus Besar taman itu Adam Fuaad.

“Kami merancang untuk memulakan pembinaannya sekitar Jun tahun ini dan dijangka akan siap dalam tempoh separuh masa kedua tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Adam, jambatan kaca itu akan menjadi satu elemen baharu yang disuntik dalam operasi mereka bagi mengekalkan kedudukan Crocodile Adventureland sebagai satu daripada pusat pelancongan terbaik di Langkawi.

“Kami telah melaksanakan penjenamaan semula dan pemasaran secara intensif sejak tiga tahun lepas dan tahun ini, kami telah dianugerahkan Sijil Kecemerlangan oleh TripAdvisor (sebuah laman sesawang pengembaraan terbesar dunia),” katanya.

Adam berkata taman itu dengan populasi kira-kira 4,000 ekor buaya, juga telah disenaraikan oleh TripAdvisor sebagai satu daripada tarikan utama pelancongan di pulau ini.

“Kami berterima kasih di atas ulasan baik dan undian yang kami terima daripada pelancong yang membolehkan kami diberikan pengiktirafan ini. Kami sentiasa mengalu-alukan komen daripada pelawat kami,” katanya.

Selain statusnya sebagai tarikan pelancongan utama, Adam berkata, Crocodile Adventureland juga menjadi pusat rujukan dari dalam dan luar negara bagi mereka yang memerlukan konsultasi khusus mengenai reptilia tersebut.

Adam berkata, paling terkini ialah perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak yang ingin menjalin  kerjasama untuk menubuhkan sebuah pusat perlindungan buaya di negeri itu yang menghadapi masalah jumlah reptilia berkenaan yang terlalu banyak.

“Kami telah dijemput untuk menjadi perunding dan menjalankan kempen pendidikan di kalangan masyarakat tempatan di Sarawak tentang cara menangani buaya,” katanya sambil menambah bahawa taman buaya itu juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan untuk beberapa universiti tempatan. — Bernama

Advertisement