Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka didagangkan rendah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sentimen lemah pelabur dijangka mendorong kepada aliran harga menurun di Bursa Malaysia minggu ini.

Ketua Pedagang OANDA di Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata pendirian yang memihak kepada kadar faedah tinggi oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat baru-baru ini bersifat negatif kepada pasaran ekuiti dunia.

Bank pusat Amerika Syarikat itu menaikkan kadar faedah buat kali kedua tahun ini, sebanyak suku mata peratus, kepada julat antara 1.75 peratus dan 2.0 peratus, pada mesyuarat dasar monetarinya baru-baru ini, selain memberi isyarat mengenai dua lagi kenaikan tambahan tahun ini.

“Ini sudah pasti akan memainkan peranan dalam mempengaruhi dagangan jika mereka mengambil pendirian yang memihak kepada kadar faedah tinggi (dalam mesyuarat pada Khamis).

“Selain kadar faedah yang lebih tinggi, pertikaian perdagangan antara AS dan China yang tidak pernah berakhir, akan menyebabkan pelabur bersikap berhati-hati untuk mengambil risiko di rantau ini secara am, dan lebih-lebih lagi di Malaysia, berdasarkan kedudukan fiskalnya,” kata Innes kepada Bernama.

Beliau berkata FBM KLCI lebih cenderung untuk didagangkan antara 1,725 dan 1,775 minggu ini.

“Namun pada rehat teknikal pada 1,725, ia boleh mencetuskan beberapa halangan dan memandangkan betapa perlahan didagangkan pasaran yang kita dapat melihat lanjutan lebih rendah ke arah 1,700,” katanya.

Bursa tempatan mengalami dagangan yang rendah pada minggu yang baharu berakhir disebabkan kekurangan pemangkin, sejajar pasaran serantau.

Pasaran itu didagangkan setengah hari pada Khamis dan ditutup pada Jumaat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Pada asas Jumaat-ke-Khamis, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 16.54 mata lebih rendah kepada 1,761.78 daripada 1,778.32.

Indeks FBM Emas merosot 94.29 mata kepada 12,378.78, Indeks FBMT100 turun 105.78 mata kepada 12,164.78, FBM 70 susut 100.03 mata kepada 14,828.33 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.11 mata kepada 12,473.71.

FBM Ace menokok 22.92 mata kepada 5,318.32.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 385.06 kepada 1,761.78, Indeks Perusahaan turun 36.93 mata kepada 3,165.25, namun Indeks Perladangan melonjak 121.68 mata kepada 7,782.65.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 8.71 bilion unit bernilai RM9.83 bilion berbanding 16.16 bilion unit bernilai RM14.38 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 5.59 bilion saham bernilai RM9.17 bilion berbanding 10.38 bilion saham bernilai RM12.86 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.86 bilion unit bernilai RM424.42 juta daripada 3.33 bilion unit bernilai RM790.33 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.26 bilion saham bernilai RM234.38 juta berbanding RM2.45 bilion saham bernilai RM537.69 juta. — Bernama

Advertisement