Anda di sini

Aquarius akhirnya tiba di Sepanyol

Advertisement
 Kapal penyelamat Aquarius yang membawa 630 pendatang memasuki pelabuhan tenggara Valencia semalam             selepas pelayaran selama seminggu di Laut Mediterranean. — Gambar AFP
SELAMAT TIBA: Kapal penyelamat Aquarius yang membawa 630 pendatang memasuki pelabuhan tenggara Valencia semalam selepas pelayaran selama seminggu di Laut Mediterranean. — Gambar AFP

VALENCIA: Pendatang se-ramai 630 orang yang mencetuskan perbalahan migrasi besar di Eropah berhubung usaha untuk menyelamatkan mereka mula naik ke darat di Sepanyol semalam, selepas minggu bergolak yang menyaksikan Itali mengusir kapal Aquarius.

Sebuah bot tentera laut Itali, Dattilo, yang membawa sebahagian daripada 630 pendatang dari kapal Aquarius, memasuki pelabuhan tenggara Valencia sejurus sebelum jam 6.30 pagi (waktu Sepanyol).

Pendatang lain akan tiba dengan menaiki sebuah lagi kapal tentera laut Itali, Orione, dan kapal Aquarius sendiri pada waktu tengah hari, kata pihak berkuasa tempatan.

Pendatang, kebanyakannya dari Afrika, disambut oleh pasukan yang dianggotai lebih 2,000 orang, termasuk 1,000 sukarelawan Palang Merah dan 470 penterjemah.

Ombak tinggi dan ribut kuat memaksa konvoi itu untuk melencong dalam pe-layaran mereka sejauh 1,500 kilometer ke Sepanyol. Ketibaan mereka menandakan berakhirnya pelayaran selama seminggu di Laut Mediterranean.

Kain rentang besar terdahulu dipasang di pelabuhan untuk menyatakan “Selamat pulang ke rumah” dalam pelbagai bahasa termasuk Catalan, bahasa tempatan, dan bahasa Arab.

“Orang tampil ke hadapan untuk segalanya: berkhidmat sebagai penterjemah, menyediakan tempat penginapan,” kata Johnson Tamayo, seorang artis berusia 51 tahun dan     sukarelawan Palang Merah.

Penumpang terdiri daripada 450 lelaki dewasa dan 80 wanita – termasuk sekurang-kurangnya tujuh wanita hamil – selain 11 budak di bawah usia 13 tahun dan 89 remaja, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Valencia.

Mereka berasal dari 26 negara, terutamanya dari Afrika tetapi juga dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan, menurut kumpulan Doktor Tanpa Sempadan (MSF).

Ditempah oleh sebuah kumpulan bantuan Perancis, Aquarius menyelamatkan pendatang di perairan pantai Libya pada hujung minggu lepas.

MSF, bersama badan kebajikan dari Perancis SOS Mediterranee, merawat pendatang di atas kapal tersebut, dan berkata dua penumpang lemas pada hujung minggu lepas apabila kapal berkenaan pertama kali mengalami ke-susahan di perairan Libya.

Kerajaan populis baharu Itali dan Malta enggan membenarkan Aquarius berlabuh di pelabuhan mereka, dan menuduh satu sama lain gagal memenuhi komitmen mereka kepada kemanusiaan dan Kesatuan Eropah (EU).

Sepanyol akhirnya campur tangan dan bersetuju untuk menerima pelarian terbabit sebagai satu “langkah politik” untuk “memenuhi permintaan Eropah bagi menempa dasar umum kepada masalah umum”, kata Menteri Luar Josep Borrell.

Madrid kelmarin berkata ia telah menerima tawaran dari Perancis – yang menimbulkan kemarahan Rom apabila ia melabelnya sebagai tidak bertanggungjawab kerana menolak kapal berkenaan – untuk menerima pendatang Aquarius yang “memenuhi kriteria bagi suaka”.

Dua negara akan “bekerja bersama” untuk menangani ketibaan pendatang, kata Timbalan Perdana Menteri Sepanyol Carmen Calvo.

Perdana Menteri Pedro Sanchez mengucapkan terima kasih kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron di atas tawarannya, dan berkata ia adalah “jenis kerjasama sebenarnya yang diperlukan oleh Eropah” pada waktu ini.

Nasib kapal Aquarius sekali lagi mengetengahkan kegagalan negara anggota EU untuk bekerja bersama bagi menangani ketibaan pendatang sejak 2015.

Selepas keputusan Rom untuk melarang kapal Aquarius, Macron dan Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte berjumpa Jumaat lepas dan bersetuju EU harus menubuhkan pusat pemprosesan suaka di Afrika untuk mencegah “pelayaran maut”.

Mereka juga menuntut perubahan “amat besar” kepada peraturan suaka EU yang meletakkan beban pendatang ke atas pelabuhan kemasukan mereka ke Eropah – khususnya di Itali dan Greece.

Menteri Dalam Negeri haluan kanan Itali Matteo Salvini kelmarin memberi amaran bahawa kapal penyelamat lain yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) lain juga akan dilarang untuk berlabuh.

“Sementara kapal Aquarius belayar ke Sepanyol, dua kapal lain yang diusahakan oleh NGO Belanda (Lifeline dan Seefuchs) sudah tiba di perairan pantai Libya, untuk menunggu kargo manusia selepas pedagang manusia meninggalkan mereka,” kata Salvini dalam satu tulisan Facebook.

“Orang ini harus tahu Itali tidak mahu lagi terlibat dalam urusan imigresen sulit ini dan mereka perlu mencari pelabuhan lain untuk dituju,” katanya.

“Sebagai menteri dan sebagai seorang bapa, saya mengambil tindakan ini untuk manfaat semua,” ujar-nya. — AFP

Advertisement