Anda di sini

Tan galas cabaran negara pada pertandingan ‘Present Around The World’

Advertisement
 Tan akan bersaing pada pertandingan akhir rantau PATW di Singapura pada Ogos ini.
TEBUS KEGAGALAN: Tan akan bersaing pada pertandingan akhir rantau PATW di Singapura pada Ogos ini.

SELEPAS berjaya bertanding di peringkat akhir kebangsaan bagi pertandingan ‘Present Around The World’ (PATW), pelajar kejuruteraan mekanikal dari Swinburne Sarawak Christopher Tan Aik Wei akan bersaing pada pertandingan akhir rantau Asia Pasifik di Singapura pada Ogos ini.

Menurut kenyataan media kelmarin, PATW adalah pertandingan global untuk golongan profesional muda dan pelajar berusia 18 hingga 30 tahun dalam bidang kejuruteraan untuk memajukan dan mempamerkan kemahiran pembentangan mereka.

Pertandingan itu memerlukan peserta membuat pembentangan selama 10 minit mengenai sebarang perkara berkaitan kejuruteraan atau teknologi dengan matlamat meningkatkan kemahiran, memajukan kemahiran dan meningkatkan profil mereka.

Pada kejohanan akhir peringkat kebangsaan yang diadakan di kampus tepi tasik Universiti Taylor di Kuala Lumpur, Tan, 23, mengagumkan panel hakim dengan pembentangannya mengenai sel solar organik.

Tan bercakap mengenai potensi teknologi yang dapat menjana sumber tenaga hijau dan lestari serta membuat perbandingannya dengan sel solar lain.

Oleh kerana teknologi ini belum lagi diketahui ramai di Malaysia, pembentangan Tan bertujuan untuk memperkenalkan sel-sel solar organik kepada audien bukan teknikal, menggalakkan penyelidikan seumpamanya di negeri ini selain menjelaskan projek penyelidikannya bagi tahun akhir mengenai topik yang sama.

Penyertaan Tan dalam pertandingan akhir serantau dianggap sebagai peluang untuk menebus diri kerana beliau gagal untuk menang pada kejohanan akhir kebangsaan pada tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana menang persaingan ini pada cabaran kedua. Saya rasa bahagian paling mencabar tentang pertandingan ini ialah sesi soal jawab.

“Maka itu, selepas menempuhi pengalaman ini, saya berharap untuk lebih bersedia bagi sesi soal jawab dalam pertandingan akhir akan datang,” kata Tan yang ingin menyertai kejohanan akhir global di London.

Walaupun dia mendapati sukar untuk menyeimbang usaha bagi menyiapkan projek penyelidikan tahun akhirnya dengan latihan untuk PATW, beliau percaya persiapan awal adalah kunci kejayaan.

Tan berterima kasih kepada Swinburne Sarawak dan institusi kejuruteraan dan teknologi kerana memberi peluang kepadanya untuk mempamerkan kemahiran pembentangan khususnya Pensyarah Kanan dari Fakulti Pengajian Asas Christina Yin yang membantunya berlatih dan bersiap sedia untuk pertandingan itu.

Tan berharap dapat mengikut jejak langkah seorang lagi pelajar Swinburne Sarawak, Peter Ling Ting Rang yang memenangi kejohanan akhir rantau Asia Pasifik (PSTW) 2015.

Ling memenangi pertandingan peringkat serantau yang diadakan di Universiti Tsinghua di Beijing yang melayakkannya untuk pertandingan akhir di London.

Ling, warga pertama Malaysia yang menang pada peringkat Asia Pasifik mewakili Malaysia, Brunei, Singapura, Australia, New Zealand, China, Hong Kong dan Taiwan untuk menentang finalis dari Afrika, Eropah, Timur Tengah, Asia Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Advertisement