Anda di sini

Tabung Harapan Malaysia dijangka bayar hutang lebih awal, kata ahli ekonomi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Walaupun jumlah yang dikutip oleh tabung amanah, Tabung Harapan Malaysia (THM),  agak kecil berbanding jumlah hutang negara yang melebihi RM1 trilion, sumbangan itu mungkin digunakan untuk membayar hutang pada tarikh yang lebih awal.

Hutang negara melebihi RM1 trilion, manakala sumbangan kepada THM sebanyak FRM66.67 juta sehingga 3 petang, 14 Jun.

Ketua Ekonomi RHB Research Institute Sdn Bhd, Peck Boon Soon, berpendapat dana itu mungkin menyumbang kepada faedah bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai RM810.21 juta yang dijadualkan antara September dan November tahun ini.

“Walaupun saiz dana agak kecil berbanding jumlah hutang yang besar, saya yakin ia akan dibelanjakan untuk menyelesaikan hutang dan bukan untuk tujuan lain, memandangkan dana masyarakat itu digerakkan atas semangat patriotik sebagai tanda sokongan rakyat kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Fungsi sebenar THM dikritik sejak pembukannya pada 30 Mei 2018.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa dana masyarakat  itu bertujuan mengurangkan hutang negara, dan diwujudkan sebagai respons kepada keprihatinan rakyat terhadap salah urus oleh kerajaan Barisan Nasional.

Peck berkata Malaysia bukanlah negara pertama yang melancarkan dana masyarakat di peringkat kebangsaan kerana Korea Selatan telah memulakan kempen pengumpulan dana yang sama semasa krisis kewangan Asia 1997/98 atau lebih dikenali sebagai krisis IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dalam kalangan penduduk tempatan.

Ditanya sama ada kerajaan sepatutnya menetapkan garis masa atau sasaran mengutip dana itu sebagai panduan jelas untuk rakyat ‘menyelamatkan’ negara, Peck berkata ia hanyalah kempen patriotisme.

Lim dilaporkan berkata bahawa hutang negara berjumlah RM1 trilion pada 31 Dis, 2017, termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion ditambah jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion untuk membayar bagi pihak entiti yang tidak mampu membayar hutang mereka.

Sementara itu, akaun dana masyarakat THM dengan akaun Maybank (A/C 566010626452) akan terus dibuka sehingga kerajaan berjaya mencapai sasaran yang besar.

Bagaimanapun, tiada jumlah tertentu dan garis masa ditetapkan setakat ini. — Bernama

Advertisement