Anda di sini

Penduduk pertahan tanah adat melalui upacara ‘miring’

Advertisement
 ‘Miring’ yang sudah siap, dipasang dan digantung merentangi laluan menuju ke tanah-tanah penduduk yang terletak di Bekelit, Serunggut, dengan harapan Petara akan menjaga dan melindungi tanah pusaka mereka.
PERLINDUNGAN: ‘Miring’ yang sudah siap, dipasang dan digantung merentangi laluan menuju ke tanah-tanah penduduk yang terletak di Bekelit, Serunggut, dengan harapan Petara akan menjaga dan melindungi tanah pusaka mereka.
 Upacara ‘miring’ sedang berlangsung, dengan yang tua dibantu oleh golongan muda.
MIRING: Upacara ‘miring’ sedang berlangsung, dengan yang tua dibantu oleh golongan muda.

‘MIRING’ merupakan salah satu upacara persembahan atau berdoa bagi masyarakat Iban, khususnya yang masih mengamal adat dan tradisi lama, kepada Tuhan atau ‘Petara’ mereka bagi memberkati permintaan dan mendapatkan perlindungan daripada sesuatu ancaman.

Miring juga diadakan bagi memberkati penduduk, melindungi dan memberi mereka kesenangan, kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat.

Upacara tradisi yang masih diamalkan ini, diadakan sebelum bermula acara atau aktiviti penting termasuk majlis-majlis rasmi yang melibatkan pemimpin dan acara besar atau selepas berlakunya malapetaka serta kejadian tidak diingini yang menimpa.

Bagi penduduk kampung dari tiga rumah panjang dari kawasan Sibuti dekat Miri, iaitu Bekelit Ili, Serunggut dan Bekelit Ulu, pertama kali mereka mengadakan miring di atas tapak tanah ‘temuda’ atau tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka ialah pada 2008, yang bertujuan mempertahankan tanah dan melindunginya.

Menurut jurucakap mereka yang juga Ketua Wanita Kumpulan Pemikir Dayak (DTTG) Cawangan Miri Christina Kelit, sejak dari tahun itu, penduduk dari tiga rumah panjang tersebut diketuai oleh Tuai Rumah (TR) Jambai Jali dari Bekelit; TR Edward Ekau serta timbalan TR, Utik Chukol, kerap mengadakan miring di kawasan tanah mereka di Serunggut itu, bagi memohon perlindungan ke atas tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka dahulu.

“Pada Disember 2014, kami telah mengadakan halangan pertama kami yang dibina di jalan masuk menuju ke kawasan perladangan kelapa sawit, yang dimajukan di atas tanah NCR milik kami, namun miring kami telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa ketika itu,” katanya.

Halangan dan miring tersebut yang dimusnahkan oleh pihak berkuasa telah dituntut ganti rugi oleh penduduk dari ketiga-tiga rumah panjang tersebut namun sehingga kini peristiwa tersebut senyap sahaja tanpa berita dan tidak diendahkan.

“Namun upacara miring yang kami namakan sebagai ‘ngenan menua’ terus diadakan walaupun pampasan terhadap adat dan ‘piring’ yang dimusnahkan dulu tidak pernah dibayar ganti ruginya,” katanya.

Menurut Christina penduduk dari ketiga-tiga rumah panjang tersebut, kini terus bersatu memperjuangkan hak dan mempertahankan tanah milik mereka dan upacara miring kemudian diadakan pada setiap tahun di tapak tanah yang sama, di Bekelit, Serunggut.

‘Miring Ngenan Menua’ itu bertujuan untuk memohon perlindungan Petara agar menjaga harta dan tanah diwarisi daripada leluhur mereka.

“Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, kerana melalui upacara tersebut, generasi muda kami bukan sahaja belajar mengenai upacara miring dan susun aturnya daripada orang tua yang mahir mengenainya, malah kami turut diberi tunjuk ajar mengenai adat dan upacara tradisi yang berkaitan, agar ilmu yang ada pada golongan tua ini dapat diperturunkan kepada golongan muda,” tambahnya.

Selain itu menurut Christina, upacara Miring Ngenanka Menua yang diadakan pada setiap tahun, selepas sambutan Hari Gawai itu, secara langsung telah mengeratkan hubungan baik dan perpaduan dalam kalangan penduduk dari ketiga-tiga buah rumah panjang tersebut.

“Apa yang pernah berlaku sebelum ini dan upacara miring yang laksanakan pada setiap tahun ini, telah membentuk perpaduan yang cukup erat dan kukuh dalam kalangan kami dengan semangat ‘agi idup agi ngelaban’ yang tetap sejati dalam diri kami,” jelasnya.

Baru-baru ini katanya, pada 3 Jun lalu, mereka telah mengadakan upacara miring ngenanka menua di tapak yang sama dan dihadiri oleh penduduk dari tiga rumah panjang terbabit.

Meskipun upacara diadakan serba sederhana, namun tetap meriah kerana sambutan perayaan Hari Gawai masih hangat.  

“Kami berharap upacara ini akan membantu kami melindungi tanah dan harta pusaka kami selain memberi kami rezeki yang melimpah hasil daripada tanah dan tuaian kami,” jelas beliau lagi.

Advertisement