Anda di sini

Pelajar lancar jelajah reformasi senjata api

Advertisement
 Mangsa yang terselamat dalam serangan beramai-ramai pada 14 Februari lalu di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas mengambil bahagian dalam ‘End of School Year Peace March and Rally’ di Chicago kelmarin. — Gambar AFP
JELAJAH REFORMASI: Mangsa yang terselamat dalam serangan beramai-ramai pada 14 Februari lalu di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas mengambil bahagian dalam ‘End of School Year Peace March and Rally’ di Chicago kelmarin. — Gambar AFP

CHICAGO: Perhimpunan dan perarakan yang riuh-rendah di Chicago melancarkan jelajah reformasi senjata api kebangsaan kelmarin oleh pelajar dari Parkland, Florida, lokasi serangan terburuk di sekolah Amerika Syarikat (AS).

Pelajar yang menjadi aktivis telah menjadi suara kebangsaan yang berpengaruh menerusi kempen mereka ‘March For Our Lives’ yang mendesak reformasi undang-undang senjata api, ekoran serangan beramai-ramai pada 14 Februari lalu di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas yang mengorbankan 17 pelajar dan kakitangan sekolah.

Pelajar memulakan apa yang mereka janji adalah jelajah bas musim panas ke 50 lokasi di lebih 20 negeri, dengan matlamat untuk mendaftar golongan muda untuk mengundi dan menyokong langkah kawalan senjata api yang lebih ketat.

Pelajar terbabit memilih Chicago sebagai tempat per-singgahan pertama mereka kerana keganasan senjata api yang begitu buruk di sana.

Sebanyak 950 serangan tembakan berlaku di bandar raya barat tengah itu setakat ini pada tahun ini dengan lebih 220 pembunuhan.

Pelajar Parkland berkata mereka mahu mengetengah-kan bukan hanya serangan besar-besaran yang menarik perhatian tetapi juga keganasan harian yang menyumbang kepada 33,000 kematian akibat tembakan di AS setiap tahun.

“Suara kami, suara anda bersatu adalah lebih kuat berbanding perkara lain,” kata pelajar Parkland Kyrah Simon kepada lebih 1,000 orang yang berhimpun untuk rapat umum ini, kebanyakannya golongan muda.

Pelajar Parkland telah menjadi kuasa politik yang berbisa, dengan menghidupkan semula perbahasan tentang kawalan senjata api di AS yang telah dilengah-lengahkan.

Mereka telah menggalak-kan demonstrasi di seluruh dunia dan menekan syarikat untuk berhenti menyokong calon dan perjuangan yang sejajar dengan Persatuan Raifal Kebangsaan yang berpengaruh.

Mereka turut menekan penggubal undang-undang di Florida untuk menge-tatkan undang-undang senjata api, antara lain, dengan menaikkan usia sah untuk membeli senjata api daripada 18 kepada 21 tahun.

Namun pelajar Parkland enggan menonjol diri di rapat umum di Chicago, dan hanya membiarkan belia di bandar raya itu sendiri untuk bersuara.

“Orang kehilangan nyawa setiap hari di Chicago, dan ia bukan kerana mereka membuat sesuatu yang salah,” kata Trevon Bosley, saudara kepada mangsa yang terbunuh di tempat letak kereta sebuah gereja.

Selebriti turut mengambil bahagian.

Chance The Rapper yang lahir di Chicago, bersama Jennifer Hudson, menge-tuai perarakan selepas rapat umum, dan Will.I.Am dari kumpulan The Black Eyed Peas menuntut “undang-undang senjata api yang baik supaya orang gila tidak merayau dengan senjata tentera”.

Rapat umum tahunan pada hujung tahun persekolahan untuk menarik perhatian kepada keganasan senjata api di Chicago merupakan persinggahan yang mesra bagi pelajar Parkland.

Semalam mereka bergerak ke bandar konservatif Naperville di pinggir Chicago, di mana kawalan senjata api adalah topik yang kurang dialu-alukan.

Persinggahan seterusnya dirancang di Kansas, Iowa dan Wisconsin, selain beberapa negeri lain. — AFP

Advertisement