Anda di sini

Utusan Pope di Chile, ‘mohon maaf’ atas pencabulan seksual

SANTIAGO: Penyiasat pencabulan seksual terkemuka Vatikan tiba di Chile kelmarin, sehari selepas Pope Francis menerima peletakan jawatan tiga uskup dari Gereja Chile yang dilanda skandal.

Uskup Agung Malta, Char-les Scicluna, dan seorang lagi utusan kepausan Uskup Agung Jordi Bertomeu akan mendapatkan kenyataan saksi daripada mangsa pencabulan seksual di dalam Gereja dan memberi panduan kepada keuskupan di Chile untuk bertindak sewajarnya kepada sebarang aduan baharu.

“Kami datang untuk me-mohon pengampunan” daripada mangsa bagi pihak Pope Francis, kata Bertomeu ketika mereka tiba di Santiago.

Dua penyiasat terbabit semalam berjumpa dengan pakar undang-undang gereja (canon law) dari keuskupan di Chile yang akan memberi “bantuan teknikal dan undang-undang” bagi “menyediakan respons yang secukup-nya kepada setiap kes pencabulan seksual kanak-kanak yang dilakukan oleh paderi atau religius”, kata Scicluna kepada pemberita.

Dua pegawai terbabit dijadual melawat Osorno, keuskupan Katolik yang diketuai Juan Barros, seorang daripada tiga uskup dengan peletakan jawatan yang diterima oleh Francis ekoran skandal pencabulan seks kanak-kanak yang telah menghantui kepausannya.

Scicluna memberitahu pemberita bahawa lawatan Osorno ke keuskupan Barros bertujuan untuk “menunjukkan keakraban khusus paus dengan keuskupan Osorno dan umat yang disayanginya”.

Seluruh delegasi uskup Chile yang dipanggil ke satu pertemuan dengan paus di Vatikan pada bulan lepas sudah meletak jawatan. Namun setakat ini, paus menerima hanya tiga peletakan jawatan.

Vatikan menamakan dua uskup lain yang berkenaan sebagai Cristian Caro Cordero dan Gonzalo Duarte Garcia de Cortazar. Kedua-duanya berusia 75 tahun, usia apabila uskup biasanya bersara.

Apabila ditanya sama ada uskup lain akan menyusul, Bertomeu berkata perkara itu berada dalam tangan paus.

Beberapa anggota hirarki Gereja, termasuk Barros, dituduh oleh mangsa sebagai tidak mempedulikan dan me-nutup pencabulan kanak-kanak selama bertahun-tahun oleh paderi pedofilia dari Chile, Fernando Karadima, pada zaman 1980-an dan 1990-an.

Francis melantik Barros, 61, sebagai uskup Osorno pada 2015, ketika dakwaan mangsa mengenai Barros sudah diketahui umum.

Pemimpin gereja itu sendiri terpalit dengan skandal itu apabila, ketika beliau melawat Chile pada Januari lalu, beliau mempertahankan Barros, yang dituduh menutup salah laku Karadima.

Karadima digantung seumur hidup oleh Vatikan berhubung dakwaan tentang pencabulan kanak-kanak.

Scicluna dan Bertomeu melawat Chile pada Februari lalu untuk menyiasat dakwaan itu dan berjumpa dengan mangsa.

Laporan mereka kepada Rom menyebut tentang kewujudan “budaya pencabulan” dalam Gereja Chile.

Dalam sepucuk surat kepada rakyat Chile yang dikeluarkan pada hujung bulan lepas, pemimpin gereja berkenaan menyuarakan “rasa malu” bahawa Gereja Katolik gagal “untuk mendengar dan bertindak dengan cepat” kepada dakwaan tentang pencabulan seksual oleh paderi di Chile.

Sejak 2000, kira-kira 80 paderi Katolik sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa di Chile atas dakwaan melakukan pencabulan seksual. — AFP