Anda di sini

'Terbabas sedikit': Yayasan Sabah akan alami reformasi

Advertisement
SHAFIE Apdal
SHAFIE Apdal

TAWAU: Yayasan Sabah (YS) akan mengalami reformasi sesuai peredaran masa tanpa mengabaikan tanggungjawab asalnya membela kepentingan pendidikan anak-anak Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perubahan perlu dilakukan kerana ketika ini perkhidmatan YS disifatkan ‘terbabas sedikit’ dari tanggungjawab asalnya.

“Kita akan kembalikan perjuangan asal YS dalam membantu anak-anak Sabah khususnya fakir miskin (supaya turut berpeluang menikmati kemudahan pendidikan),” katanya.

Shafie ditemui semasa Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Semporna, Silam, Tawau dan Kalabakan di Masjid Al-Kauthar di sini pada Rabu.

Penganjuran program terbabit dipengerusikan bersama oleh Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus Sipil.

Mengulas lanjut, Shafie berkata kaedah baharu akan diperkenalkan melalui YS untuk memastikan pembangunan modal insan kepada anak-anak Sabah dapat terus dilakukan.

“Saya yakin jika kita ada duit, YS mampu membina Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sehingga (bernilai) RM400 juta, kita juga boleh sediakan beratus juta (bantuan kewangan) untuk anak kita (dalam pembangunan pendidikan).

“Kita mahu memastikan pendidikan anak-anak Sabah mendapat pembelaan yang lebih baik,” katanya, sambil mengakui bidang kemahiran turut menjadi tumpuan kerajaan.

Menurutnya, perkara itu selaras pembentukan Kementerian Pelajaran khas di peringkat Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dasar berkaitan.

Beliau berkata dasar baharu itu bukan hanya meliputi akademik (ilmu pengetahuan) tetapi untuk melahirkan anak-anak Sabah yang mempunyai kemahiran untuk pasaran industri.

“Usaha yang hendak dilakukan (Kerajaan Negeri) ini akan mengambil-kira keperluan industri supaya kita tidak (terlalu) bergantung dengan tenaga buruh dari luar,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Jimmy Wong, Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Abdul Muis Picho serta wakil rakyat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement