Anda di sini

Taib menasihati rakyat Sarawak untuk kekalkan keamanan dan keharmonian

 

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menasihatkan rakyat negeri ini supaya meneruskan cara hidup berinteraksi dalam aman dan harmoni.

Katanya, rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama boleh berasa bangga dan bermaruah kerana dapat hidup bersama dan saling menghormati antara satu sama lain dan semua orang boleh mengamalkan agamanya sendiri tanpa sebarang sekatan dan kritikan dari mana-mana pihak.
 
"Ini adalah semangat yang kita mahu terus serapkan ke dalam masyarakat kita, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, tanpa salah faham dan pertengkaran di antara satu sama lain. 

"Sebenarnya Sarawak yang aman dan harmoni, akan menjadi lebih progresif dan mempunyai masa depan yang cerah," katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu sempena Hari Raya Aidilfitri ini, beliau berharap agar tradisi mengunjungi antara satu sama lain diteruskan kerana ia telah menjadi trend yang baik untuk rakyat Sarawak, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Atas sebab ini, kita merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai perayaan yang memberikan kegembiraan dan kebahagiaan bukan hanya kepada umat Islam tetapi kepada semua kaum di Sarawak. 

"Bagi saya, inilah mesej yang saya ingin berikan kepada rakyat Sarawak tanpa mengira asal-usul kaum atau kepercayaan agama mereka," katanya.

Sementara itu, Taib berkata, umat Islam amnya mesti mengambil kesempatan penuh dari bulan suci Ramadan ini untuk terus melakukan perkara-perkara yang baik dan terus mengamalkan ajaran agama terutama dalam membimbing golongan muda dan rakyat dari kaum dan agama lain, kerana amalan baik mesti dikongsi bersama dalam usaha menaik taraf diri, budaya serta tradisi di Sarawak.

"Kita mesti sejauh mungkin mengelakkan melakukan sesuatu yang buruk, kita mesti menghalang diri kita daripada terlibat dalam amalan buruk seperti menyebarkan kepalsuan terhadap individu, elakkan melakukan sesuatu, yang boleh membawa pertengkaran dan pemusnahan kepada negeri," katanya.