Anda di sini

Sime Darby dan SP Setia nafi dakwaan salah laku dalam projek Battersea

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby) dan SP Setia Bhd semalam menjelaskan bahawa pengambilalihan tapak dan kos seterusnya bagi pembangunan Battersea Power Station (BPS) adalah dibiayai sepenuhnya oleh gabungan ekuiti daripada pemegang saham serta pinjaman pembangunan.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak itu berkata pinjaman tersebut disediakan atas terma komersial oleh sekumpulan pemberi pinjaman Malaysia dan antarabangsa.

“Lebih 60 peratus disediakan oleh pemberi pinjaman antarabangsa,” menurut kedua-dua pihak sekali gus menyangkal sebarang dakwaan salah laku berkaitan projek yang berpangkalan di London itu.

Dua pihak pemaju hartanah itu juga berkata pinjaman pembangunan sebanyak 458 juta pound Britain (£1=RM5.34) bagi fasa satu telah dibayar semula sepenuhnya lebih awal daripada jadual.

“Modal awal telah dilaburkan dalam projek ini oleh pemaju dan keuntungan daripada fasa pertama kini dilaburkan semula untuk membangunkan fasa seterusnya,” menurut kenyataan bersama itu.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan membangkitkan kebimbangan mengenai janji niaga BPS dan pelaburan hartanah utama lain di United Kingdom selain berhasrat mengkaji kembali dan merundingkan semula janji niaga itu sekiranya terdapat sebarang salah laku.

Pada jam 11.4 pagi, saham SP Setia meningkat empat sen kepada RM2.9 dengan 4.63 juta saham diniagakan manakala saham Sime Darby Property naik empat sen kepada RM1.25 dengan 2.92 juta saham bertukar tangan. — Bernama

Advertisement