Anda di sini

Sarawak bakal miliki velodrom sendiri

 Abdul Karim (tengah) bercakap pada sidang media mengenai Cabaran Basikal Samarahan 2018 di pejabatnya di Kuching semalam.
SIDANG MEDIA: Abdul Karim (tengah) bercakap pada sidang media mengenai Cabaran Basikal Samarahan 2018 di pejabatnya di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai velodrom sendiri sebagai landasan untuk membangunkan sukan berbasikal di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pembinaan velodrom tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri ini setelah melihat perkembangan sukan berbasikal di Sarawak.

“Kita melihat sukan berbasikal semakin popular di Sarawak dan oleh sebab itu kerajaan negeri sudah merancang untuk membina velodrom berbasikal.

“Bagaimanapun, setakat ini kementerian kita masih dalam proses mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan velodrom tersebut,” katanya pada sidang media bagi kejohanan Cabaran Basikal Samarahan 2018 di pejabatnya di sini semalam.

Mengenai kejohanan Cabaran Berbasikal Samarahan Ke-5 2018 itu, Abdul Karim berkata acara yang bertemakan ‘Keep Rolling’itu akan berlangsung di hadapan Summer Mall Kota Samarahan pada 14 Julai depan bermula jam 7 pagi.

Ia dianjurkan oleh Kumpulan ‘Taskforce’ Pelancongan Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Samarahan dan Persatuan Berbasikal Sarawak bertujuan meningkatkan Samarahan sebagai destinasi pelancongan sukan.

“Sebanyak 15 pasukan atau 200 hingga 300 peserta telah mengesahkan penyertaan dan kita yakin kejohanan  ini bakal menjadi landasan menonjolkan bakat-bakat tempatan yang berpotensi dinaikkan ke tahap seterusnya seperti SUKMA akan datang,” katanya.

Menurut Abdul Karim, acara tahun lalu telah menarik penunggang-penunggang basikal dari Indonesia, Ireland dan Afrika Selatan serta seluruh Malaysia.

Cabaran Basikal Samarahan 2018 mempertandingkan lima kategori iaitu Junior (36km), Wanita (24km), Sarawak Tertutup (48km), Veteran All Star (36km) dan Elit (48km) dengan hadiah wang tunai ditawarkan berjumlah kira-kira RM11,000.

Di samping itu, terdapat acara sampingan seperti pertandingan Megathon (aerobik), pingpong, mewarna kanak-kanak, nyanyian dan pameran oleh pelbagai agensi.