Anda di sini

Rantau ASEAN akan dilonjakkan dengan rangkaian bandar pintar

Advertisement

KUALA LUMPUR: HSBC mengalu-alukan persetujuan 10 negara anggota ASEAN untuk mewujudkan Rangkaian Bandar-Bandar Pintar ASEAN (ASCN), dengan menambah bahawa ia akan melonjakkan rantau ini ke peringkat teratas dalam kemajuan bandar pintar global.

Kumpulan kewangan itu berkata ASCN akan membolehkan Asia Tenggara membangunkan bandar-bandarnya secara mampan, dengan mengoptimumkan ekonomi Internet yang sedang meningkat di rantau ini dan memacu kerelevanan antarabangsa ASEAN.

Dicadangkan pada sidang kemuncak ASEAN ke-32, April lepas oleh negara tuan rumah, Singapura, ASCN dijangka menjadi platform kerjasama di mana sehingga tiga bandar raya (termasuk ibu negara) dari setiap satu negara ASEAN dimajukan ke arah matlamat pintar dan pembangunan kota yang mampan.

Ia merangkumi sebanyak 26 bandar perintis termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Sebagai sebahagian daripada konsep, yang dikeluarkan  oleh Sekretariat ASEAN, kerajaan akan membangunkan platform untuk perkongsian amalan terbaik, menghubungkan bandar-bandar anggota dengan pelaburan swasta dan mendapatkan pembiayaan daripada institusi-institusi pembiayaan pelbagai hala,” kata HSBC dalam satu kenyataan semalam.

Ketua Liputan Pelanggan Digital Globalnya, Danielle Walsh, menyifatkan pendekatan bandar-bandar pintar Asia Tenggara sebagai mendahului dunia.

“Pembentukan ASCN yang bermaksud inisiatif bandar pintar ASEAN akan menjadi lebih besar dan memacu rantau ini ke peringkat tertinggi dalam kemajuan bandar raya pintar global,” katanya.

Walsh berkata, pembinaan bandar pintar bermaksud membina bandar yang mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi bagi meningkatkan operasi  bandar daripada aliran trafik, pembangunan infrastruktur bagi pemuliharaan tenaga dan air.

“HSBC menyokong inisiatif tersebut memandangkan pembangunan ASCN dan bandar-bandar pintar secara amnya di seluruh Asia Tenggara merupakan satu respons kepada peningkatan urbanisasi yang sedang berjalan di rantau ini sehingga memberikan tekanan terhadap infrastruktur bandar raya, langkah kawalan iklim dan sanitasi asas penduduknya,” katanya.

Kumpulan  perbankan itu berkata  kira-kira 49 peratus daripada penduduk di rantau ini hidup di kawasan bandar. Urbanisasi pesat bermakna bahawa di antara tahun 2015 dan 2030, kira-kira 100 juta orang di ASEAN dijangka akan berhijrah dari luar bandar ke kawasan perbandaran.

HSBC Bank Malaysia Bhd telah ditubuhkan pada 1984 dan merupakan unit Hong Kong and Shanghai Banking Corporation Ltd. — Bernama

Advertisement