Anda di sini

Rakyat mahu BN jadi pembangkang kuat, berkredibiliti

Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) berpendapat selain mahukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berintegriti, rakyat kini mahu Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO berperanan sebagai pembangkang yang kuat dan berkredibiliti.

Menurut kenyataan MPM yang dikeluarkan di sini, semalam, kejatuhan BN dan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ibarat ‘avalanche’ atau runtuhan salji yang dahsyat sehingga turut menghempap  beberapa institusi Islam yang berperanan untuk memajukan Islam.

“BN yang kini hampir kembali mirip ke wajah Parti Perikatan, wajib pikul tanggungjawab terhadap tragedi avalanche ini. Kerananya banyak institusi Islam dirombak dan ramai peneraju pentadbiran atau korporat terpaksa melepaskan jawatan masing-masing,” kata kenyataan itu.

MPM juga memahami cabaran dihadapi kepimpinan BN dan UMNO amat getir kerana pengundi Melayu dan Bumiputera menganggap parti itu mengkhianati mereka.

Justeru MPM mengingatkan kepemimpinan BN kembali kepada semangat perjuangan asal seperti semasa dalam Perikatan tetapi dalam orde baharu, dan menjenamakan semula BN agar diterima rakyat sebagai parti kemakmuran dan perpaduan.

Menjelang pemilihan pucuk kepimpinan UMNO yang bakal diadakan penghujung Jun ini, MPM berkata saki-baki pengundi yang masih menyokong mereka mahu melihat satu anjakan paradigma dan pengislahan yang benar-benar radikal dilakukan bagi meyakinkan mereka untuk kekal menyokong UMNO.

Pengundi kini sudah tidak terikat dengan sentimen kepartian. Jika mereka berpendapat kepimpinan UMNO syok sendiri, tiada sebab untuk mereka tidak berhijrah menyokong mana-mana parti komponen dalam PH.

Apatah lagi tarikan di pihak PH, terutamanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM), amat kuat mengajak pengundi Melayu/Bumiputera untuk bersama mereka bagi meningkatkan peratus sokongan pengundi Melayu/Bumiputera dalam PH.

Jika itu terjadi, sokongan Melayu kepada UMNO dan BN akan susut ke paras kurang 50 peratus dan setiap 5 peratus kemerosotan sokongan pengundi tersebut, UMNO dan BN terpaksa menagih sokongan undi bukan Melayu sebanyak 15 peratus yang mana mustahil dalam suasana semasa. — Bernama

Advertisement