Anda di sini

Proses, inovasi produk dua tumpuan utama di Malaysia: Kajian AIF

Advertisement

KUALA LUMPUR: Proses dan inovasi produk/perkhidmatan merupakan dua bidang utama yang menjadi tumpuan industri kewangan Malaysia (FSI), demikian menurut kajian baharu oleh Institut Kewangan Asia (AIF) semalam.

Kajian itu menunjukkan 90 peratus pemimpin dalam FSI Malaysia bersetuju bahawa inovasi sangat penting untuk kemampanan organisasi masing-masing, manakala kira-kira 48 peratus berkata syarikat mereka cepat melakukan inovasi bagi meraih kelebihan sebagai  penggerak pertama.

Malaysia berada di tempat 37 dalam senarai 127 negara dalam Indeks Inovasi Global terbaru yang dilaporkan pada 2017.

“Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat jangka panjang bagi menjadi antara 20 negara teratas dari segi pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi,” kata AIF dalam satu kenyataan di sini.

Laporan  itu juga mencadangkan bahawa dalam tempoh tiga tahun akan datang, sebahagian besar institusi  kewangan Malaysia (FI) akan melabur untuk mendigitalkan perniagaan mereka dengan fokus kepada  peranti mudah alih sebagai saluran utama untuk pengguna.

“Ia juga menunjukkan bahawa peluang bagi FI dan syarikat pemula niaga teknologi  kewangan (fintech) untuk bekerjasama masih menyediakan peluang yang besar, serta minat mendalam yang ditunjukkan  oleh kedua-dua pihak untuk bekerjasama bagi mewujudkan inovasi yang menjadi pencetus perubahan secara menyeluruh dalam perkhidmatan kewangan,” katanya.

Kajian bertajuk ‘Memperkukuh Inovasi: Perspektif daripada Industri Perkhidmatan Kewangan dan FinTech di Malaysia’, bertujuan antara lain untuk memberikan penjelasan mengenai keadaan semasa inovasi dalam FSI dan unjuran masa hadapan bagi industri itu dalam tempoh  tiga tahun akan datang.

Lebih 50 pengurus kanan termasuk eksekutif C-suite dan 247 pegawai peringkat rendah dan pertengahan di FSI Malaysia mengambil bahagian dalam kaji selidik secara dalam talian. Ia juga termasuk temu bual dan perbincangan kumpulan fokus dengan pemimpin FSI dan syarikat fintech.

AIF ialah kumpulan pemikir yang ditubuhkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi meningkatkan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat dalam keseluruhan pengurusan bakat di FSI Asia. — Bernama

Advertisement