Anda di sini

PBT diminta ambil tindakan tegas pengusaha phk salah guna lesen

Advertisement
 Pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Inspektor Darvleen Singh (kanan) dan Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Alor Setar, Mohd Aminuddin Hasan menunjukkan meter digital dan fius yang ditanggalkan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik di premis-premis yang menjalankan aktiviti perjudian semalam. — Gambar Bernama
AKTIVITI HARAM: Pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Inspektor Darvleen Singh (kanan) dan Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Alor Setar, Mohd Aminuddin Hasan menunjukkan meter digital dan fius yang ditanggalkan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik di premis-premis yang menjalankan aktiviti perjudian semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta lebih tegas mengambil tindakan terhadap pengusaha Pusat Hiburan Keluarga (PHK) berlesen sekiranya mereka dikesan menyalahgunakan lesen itu dengan melakukan aktiviti perjudian haram.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata tindakan dengan cara membatalkan lesen itu wajar dilakukan PBT untuk memastikan mereka tidak lagi beroperasi dan berselindung di sebalik lesen PHK.

“Saya cadangkan batalkan sahaja lesen mereka kerana mereka tidak serik dan tetap menjalankan aktiviti (perjudian) itu dalam premis yang sama...ada lesen PHK tetapi ada mesin judi dalam premis mereka,” katanya kepada Bernama semalam.

Sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan dua petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam mengadakan operasi pemotongan elektrik terhadap enam premis perjudian di daerah ini.

Mohd Rozi berkata pemotongan bekalan elektrik itu susulan penahanan beberapa pemilik premis perjudian dan pengunjung berusia 20 hingga 67 tahun dalam operasi dilakukan polis sebelum ini, mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Ada juga mereka ini melakukan kegiatan itu secara bergerak dan apabila kehabisan duit mereka akan ke premis tersebut untuk tambah nilai pertaruhan dan menebus kemenangan jika berjaya. Sebab itu, jika mereka masih melakukan jenayah yang sama, batalkan saja lesen mereka,” katanya.

Mohd Rozi berkata polis akan terus memantau serta membuat risikan berkaitan aktiviti perjudian itu dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan yang dilihat boleh merosakkan masa depan generasi muda terutama pelajar sekolah. — Bernama

Advertisement