Anda di sini

Pastikan siap ikut jadual, patuhi spesifikasi

Advertisement

Peringatan kepada kontraktor jalankan projek kerajaan

SANDAKAN: Kontraktor yang menjalankan projek kerajaan diingatkan supaya memastikannya siap mengikut jadual dan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib menegaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius kecuaian kontraktor sehingga menyebabkan projek-projek kerajaan tergendala atau terlewat disiapkan.

RUJI (tengah) berbincang bersama Arunarnsin (dua kanan) dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah dan kontraktor.
RUJI (tengah) berbincang bersama Arunarnsin (dua kanan) dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah dan kontraktor.

"Jaga juga kualiti kerja yang disiapkan, jangan pula siap kelak tetapi mutunya amat teruk hingga menjejaskan imej dan reputasi kerajaan. Kita mahu setiap rakyat dapat menikmati sepenuhnya setiap projek pembangunan yang dilaksanakan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum berkata demikian semasa melawat Projek Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Industrialzed Building Sistem (IBS) bagi Negeri Sabah Fasa 1 Tahun 2018 untuk Kementerian Pendidikan Malaysia Pakej 4, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 16 Gum-Gum, Libaran.

Turut hadir dalam lawatan itu, Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah Dato’ Haji Ruji Haji Ubi, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pihak sekolah berkenaan dan pihak kontraktor.

Arunarnsin turut kesal dengan pihak kontraktor berkenaan yang gagal menyiapkan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kelewatan projek bukan sahaja menyukarkan pihak sekolah tetapi murid-murid yang kini terpaksa menggunakan kelas yang sempit ekoran murid di setiap bilik darjah melebihi dari kapisiti kelas itu,” katanya.

Beliau menambah bangunan sekolah empat tingkat ini yang memiliki 18 bilik darjah itu sepatutnya siap pada 19 Jun ini tetapi pihak kontraktor ini telah meminta agar tarikh itu dilanjutkan sehingga bulan Ogos tahun ini.  

“Saya amat berharap agar pihak kontraktor ini dapat menyiapkan seperti yang dijanjikan dan mengikut piawaian ditetapkan kerajaan seperti dalam perbincangan dengan Dato Haji Ruji. Kita mahu kemudahan bilik darjah yang siap kelak dapat digunakan untuk keselesaan murid di sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata sebarang masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh pihak kontraktor seharusnya diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan kesulitan terhadap projek berkenaan termasuk kelewatan menyiapkan operasi.

ARUNARNSIN (enam kanan) dan Ruji (lima kiri) bergambar bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah dan kontraktor selepas lawatan ke projek sekolah daif di SK Batu 16 Gum-Gum, Libaran.
ARUNARNSIN (enam kanan) dan Ruji (lima kiri) bergambar bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah dan kontraktor selepas lawatan ke projek sekolah daif di SK Batu 16 Gum-Gum, Libaran.

Sementara itu, Ruji telah menasihati pihak kontraktor berkenaan agar menyiapkan projek itu sehingga bulan Ogos ini.

Beliau meminta pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Sabah untuk memantau projek ini seberapa kerap untuk memastikan pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja pembinaan projek itu mengikut piawaian dan tarikh yang dijanjikan.

Ruji juga akan meminta laporan dari pihak Jabatan Pendidikan Sabah dan pihak sekolah supaya projek-projek seperti ini dapat disiapkan tanpa tergendala.

  • oleh
  • Advertisement