Anda di sini

NFCorp akan teruskan prosiding komital terhadap Mohd Rafizi

Advertisement

KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya akan meneruskan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Mohd Rafizi Ramli selepas Naib Presiden PKR itu tidak bersetuju untuk mengeluarkan artikel berhubung NFC daripada blog dan akaun Facebooknya.

Peguam Noor Farhah Mustaffa, yang mewakili NFCorp dan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad semalam yang turut dihadiri peguam Ng Siau San mewakili Mohd Rafizi.

Noor Farhah berkata kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan secara baik prosiding komital itu selepas Ng memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan beberapa syarat yang dikemukakan Mohamad Salleh termasuk mengeluarkan artikel berhubung NFC daripada blog dan Facebooknya.

“Jika Mohd Rafizi bersetuju dengan syarat berkenaan, anak guam saya bersetuju untuk menarik balik permohonan komital terhadapnya,” katanya.

Peguam itu berkata mahkamah menetapkan 24 Ogos untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi memulakan prosiding komital terhadap Mohd Rafizi.

Pada 23 Mei 2017, Mohamad Salleh dan NFCorp memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Mohd Rafizi selepas bekas Ahli Parlimen Pandan itu sekali lagi menerbitkan artikel berhubung NFC walaupun terdapat perintah mahkamah yang menghalangnya berbuat demikian.

Mohd Rafizi turut memohon untuk mengetepikan prosiding menghina mahkamah yang diperoleh Mohamad Salleh dalam kes saman difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Mohd Rafizi berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Pada 31 Okt 2016, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman yang difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp selepas mendapati Mohd Rafizi memfitnah mereka berhubung pembelian hartanah di KL Eco City, dan memerintahkan Mohd Rafizi membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada kedua-dua plaintif.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Malaysiakini, yang dinamakan sebagai defendan kedua, dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM50,000 kepada portal berita berkenaan. — Bernama

Advertisement