Anda di sini

Mangsa beranda ranap terima sumbangan

Advertisement

BELURAN: Mangsa beranda ranap akibat dihempap pokok sawit tumbang ekoran angin kencang di Kampung Kolapis Darat di sini, menerima sumbangan pihak Pejabat Kebajikan daerah Beluran.

Pegawai Kebajikan daerah Beluran Asmad Nasir berkata pihak kebajikan  amat bersimpati dengan musibah yang menimpa keluarga ibu tunggal, Rahimah Anoh, 55, bersama 12 orang di sebuah rumah kayu bertingkat yang dihuni dua keluarga.

Katanya, pihak Pejabat Kebajikan menghulurkan sumbangan bahan binaan iaitu 20 keping atap zink dan paku kepada keluarga Rahimah untuk membina semula beranda dan tangga utama rumah yang musnah dalam kejadian itu yang turut menyebabkan sebuah motosikal rosak.

 ASMAD (tiga kiri) bersama Abdullah Ghani (kanan) menyerahkan sumbangan bahan makanan mentah kepada keluarga Rahimah dan Siti Nurhaya yang menjadi mangsa beranda ranap akibat dihempap okok kelapa sawit tumbang di Kg Kolapis Darat Beluran.
ASMAD (tiga kiri) bersama Abdullah Ghani (kanan) menyerahkan sumbangan bahan makanan mentah kepada keluarga Rahimah dan Siti Nurhaya yang menjadi mangsa beranda ranap akibat dihempap okok kelapa sawit tumbang di Kg Kolapis Darat Beluran.

Menurut Asmad, selain bantuan zink dan paku, pihaknya turut menyalurkan bantuan bahan makanan secara ‘one off’ kepada kedua-dua keluarga terbabit seperti beras, gula, mi kering, biskut, telur ayam, bawang dan sebagainya.
   
Selain Rahimah, rumah terbabit turut didiami keluarga Siti Nurhaya Timbasal, 36, anak sulung kepada Rahimah dan seorang suri rumah yang mempunyai lapan orang anak, manakala suaminya bekerja sebagai nelayan.
   
“Semoga sedikit bantuan ini dapat meringankan beban dan menceriakan kedua-dua keluarga terbabit khasnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri esok (15 Jun),” kata Asmad sambil berharap ada pihak lain sudi tampil menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada mangsa bencana itu.

Dalam pada itu, Rahimah dan Nurhaya melahirkan rasa terima kasih dan penuh kesyukuran atas keprihatinan dan bantuan amat bermakna yang diberikan oleh pihak Pejabat Kebajikan daerah Beluran dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Kolapis Darat yang bertindak mengatur segala urusan yang berkaitan.

Walaupun masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu, beliau sekeluarga tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu.

Ia berlaku ekoran angin kencang kira-kira jam 7.40 malam Selasa lepas, sehingga menyebabkan pokok kelapa sawit di tepi halaman rumah mereka tumbang menghempap dan meranapkan beranda rumah PPRT yang didiami sejak lebih 10 tahun lalu.     

KEADAAN beranda rumah Rahimah yang musnah dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang akibat angin kencang pada malam Selasa lepas.
KEADAAN beranda rumah Rahimah yang musnah dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang akibat angin kencang pada malam Selasa lepas.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg Kolapis Darat, Abdullah Ghani Abd Wahab turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan dan tindakan pantas Pegawai Kebajikan Beluran, Asmad Nasir untuk membantu keluarga mangsa terbabit.

“Terima kasih juga kepada Adun Labuk, Abdul Rahman Datuk Haji Kongkawang yang turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga Rahimah dan Siti Nurhaya, selain pihak anggota Balai Bomba Beluran dan penduduk kampung yang turut terlibat membantu mangsa dalam kerja pembersihan kesan pokok sawit yang tumbang,” ujarnya.
   
Untuk rekod, angin kencang yang melanda sekitar pekan Beluran kira-kira 2.40 petang pada 22 Mei lepas, 11 rumah mengalami kerosakan dan lebih lima kes pokok tumbang dilaporkan.
Sebelas keluarga terbabit mengalami pelbagai kerosakan struktur khasnya di bahagian atap/bumbung rumah iaitu tiga keluarga terlibat di Kg Kolapis Darat, Kampung Air (dua), Kg Iran (empat) dan masing-masing satu keluarga di Kg Buang Sayang Muanad 3 dan juga Kg Sri Menanti, Beluran.

  • oleh
  • Advertisement